02 July 2009











Gejala el nino memang sedikit terasa juga di Kuala Lipis, walaupun wilayah perbukitan ini kaya dengan kehijauannnya. Namun begitu, sehari dua ini hujan turun dengan lebat. Terasalah kedinginan. Lantas membawa ingatan saya terhadap warga Titom, khususnya guru-guru tersebut yang tinggal dalam hutan belantara, jauh dari masyarakat luar.

Sekolah Kebangsaan Titom sebenarnya memiliki kemudahan internet. Perhubungan melalui telefon juga boleh dibuat ke Sekolah Kebangsaan Lenjang. Namun perhubungan dengan dunia luar melalui jalan fizikal, tetap utama. Bila musim hujan, jalan darat ke Titom menjadi mimpi ngeri. Bagaimana guru- guru ini hendak keluar atau masuk pada hujung minggu? Mereka selalunya akan menaiki motosikal secara konvoi. Pun begitu, betapalah payahnya jalan yang dilalui itu. Kemudian melalui pula jalan Lenjang yang hanya baik sedikit sahaja daripada jalan Titom tersebut. Inilah pengorbanan guru- guru Titom, Lenjang dan Senderut dan yang sewaktu dengannya dalam mendidik anak-anak murid mereka. Saya sangat-sangat menghormati dan menyanjungi khidmat bakti mereka. Di sini saya abadikan beberapa keping gambar sepanjang jalan yang saya lalui ke Titom.










Kg. Pamah Kulat

Kampung Pamah Kulat terletak dalam kawasan Ulu Dong, Raub. Terkenal dengan dusun buah-buahan dan pelbagai tanaman pertanian. Durian, salak, rambutan, pisang, nenas, keledek dan segala macam pokok lagi. Pemandangan di sepanjang jalan juga menarik. Seakan-akan sebuah lukisan yang biasa dilukis semasa di sekolah rendah. Ada bukit, pokok-pokok, pohon kelapa, rumah kampung, kolam ikan, kain di ampaian yang melambai ditiup angin. Jika teruskan perjalanan ke kampung Pulau Chekas, di mana ada pusat perkelahan Lata Jarum, ada pula perusahaan bunga kantan di sana.

Semalam, Khamis, 01 Julai 2009 separuh hari saya berada di Tabika KEMAS Kg. Pamah Kulat. Menyelia dan membimbing praktikum guru TBK di situ, Cikgu Saabah binti Seman. Beliau memang kreatif, inovatif dan seronok mendidik kanak-kanak kecil seusia 4, 5 dan 6 tahun. Melihat kerenah kanak-kanak tersebut, ternyata memang Cikgu Saabah punya ketabahan, emosi yang kompeten, dan aura seorang pendidik yang berkarisma. Antara permainan yang dilaksanakan dalam slot P&Pnya, dayung sampan, memancing, mencipta kapal layar dari botol air, menaiki bas dan membuat sandwic. Murid-muridnya aktif, responsif dan riang gembira. Syabas diucapkan kepada Cikgu Saabah. Usaha murni cikgu tak akan dilupakan sepanjang hayat.

Sebelum saya meninggalkan Tabika tersebut, saya telah dihadiahkan sebuah bungkusan (berisi Al Quran) oleh Cikgu Saabah, dan beberapa biji durian gred A dan sebiji nenas yang sungguh besar oleh pembantu Tabika dan seorang ibu kepada kanak-kanak Tabika tersebut. Terima kasih banyak-banyak. Orang Pamah Kulat memang pemurah..

Adat Larang Istiadat Pantang

Ketika kuliah Budaya dan Pembelajaran, Unit BC (Bahasa Cina) Sem 5 membincangkan topik adat dan pantang larang kaum, sampailah perbincangan kepada adat berkhatan kaum Melayu. Penerangan diberi bahawa ia adalah tuntutan agama. Hanya majlis sambutan yang dibuat sebegitu rupa menjadikan ia langsung dianggap sebagai adat dan kebiasaan.
Apa yang mengejutkan saya, pertanyaan dikemukakan oleh pelajar perempuan; Bagaimana orang perempuan disunatkan…? Wow!Wow!Wow! Bagaimana harus saya menjawabnya…? Pelajar lelaki pula tersengih-sengih, mendesak saya memberi penerangan yang jelas. Perlukah saya menceritakan secara terperinci? Atau saya melukiskan di papan putih? Atau saya membuat aksinya? Atau meminta mereka merujuk atas talian? Atau mencari dalam bahan bacaan? Namun, semua pelajar perempuan kelihatan sangat teruja ingin tahu. Pelajar lelaki bertambah-tambah la lagi.. Perghh..! Ini cabaran yang tak terduga... Apa risikonya jika saya memilih salah satu kaedah penerangan tersebut? Pelajar Sem 5 purata berusia 22 tahun. Mereka berfikiran agak terbuka dan matang. Mereka sanggup dan rela mendengar, dalam konteks belajar. Mereka juga tidak akan mendakwa ini sebagai gangguan seksual.
Saya termenung seketika...

Akhirnya.....

Saya mengambil keputusan menerangkan secara lisan.... Anehnya mereka semua terdiam sebentar selepas penerangan tersebut. Mengapa ya..

30 June 2009

POK YA

Bersembang di pejabat sekali sekala ada baiknya. Kurangkan tekanan kerja di samping menambahkan keceriaan. Seorang rakan, kami panggil Pok Ya, selalu ada bahan untuk disembang. Ceritanya; Satu hari dia melalui jalan Gambang. Ternampak gerai menjual papan pemotong (biasa ada kat dapur rumah kita). Dia singgah.

Pok Ya: Berapa harga satu?
OA : 15 ringgit je..
Pok Ya: Kalau saya beli 2, boleh bagi harga 20 ringgit?
OA : (garu kepala) kalau cik beli 1, 15 ringgit harganya. Kalau 2, 30 ringgit lah cik.
Pok Ya: Ye, saya tahu. Tapi saya nak harga 20 ringgit untuk 2 papan ni, macamana?
OA : (Menggeleng kepala) Tak boleh la cik. Harga dia 30. Tapi.... macam ni la cik…Kalau

cik beli 3, boleh la saya bagi harga 30 ringgit.
Pok Ya: HAA...? ok..bagi saya 3..

Pengajaran? Fikir sendiri..

ANGKAT BAKUL

Kemunculan saya dalam lintas langsung Karnival Lipis di TV1 jam 8.45 pagi, Sabtu 27 Jun baru-baru ini agak memeranjatkan rakan-rakan. Saya bukanlah suka sangat buat kejutan. Bagi saya ini bukan perkara besar manapun. Saya lagi gugup bila diminta bagi ‘profesional talk’ 10 minit pada perhimpunan bulanan. Lagipun ini bukan kali pertama saya muncul di TV.
Mereka menonton di cafĂ©. Kata Jamil, ramai yang tengok, terkejut dan bersorak. Sebenarnya rakyat Malaysia menonton saya selama 5 minit pada pagi tersebut. Terimakasih kepada RTM, Majlis Daerah Lipis, Puan Razimah, Shamsuri, dan adik Azmur yang mendeklamasikan sajak “Kuala Lipis”.