SALAM KEMRDEKAAN
Pada pagi cuti Tahun Baru Cina, seingat saya Ahad, tahun 1993, saya dan seorang teman berhasrat bersantai di Genting Highland. Kami bertolak dari Temerloh menaiki moto Yamaha RXZ saya yang baru beberapa bulan dibeli. Masuk ke sempadan Karak, lebuhraya sedang dalam proses naik taraf. Sepanjang jalan batu-batu ditabur tanpa digelek. Kami teruskan juga perjalanan dalam keadaan terhenjut-henjut dan lambat-lambat.
Sungguh tak disangka (walaupun boleh juga dijangka) tayar belakang tiba-tiba pancit. Lokasinya kurang 1 km melepasi simpang Bentong Timur. Ketika itu tiada pekerja lebuhraya pula yang kelihatan. Kereta lalu lalang juga sangat kurang.
Kami termenung sebentar. Sewaktu cuti begini mana ada bengkel yang buka? Kami terus mencari-cari idea. Terfikir nak tolak saja moto sehingga ke tempat yang selamat disimpan. Kemudian kami akan tumpang kereta atau naik teksi ke Genting. Terfikir juga balik saja naik bas. Ambil alat ganti. Atau simpan moto di suatu tempat, datang semula selepas cuti. Akhirnya.... kami tolaklah juga moto perlahan-lahan. Tak berapa lama, kami melihat dari jauh ada seorang lelaki India yang sedang duduk di tepi lori JKR. Setelah hampir kami pun bertanya kepadanya bolehkah dia menolong. Dia kata dia sanggup mencuba. Lalu keputusan diambil. Teman saya mengikuti lelaki India ini ke bandar Bentong menaiki lori JKR. Saya pula menunggu moto. Kurang satu jam mereka kembali. Diiringi seorang pemuda Cina menaiki moto.
Setelah bertanya masalah lebih kurang, pemuda Cina ini mula mengganti tiub moto. Selesai. Saya bertanya bayarannya. Dia kata saya bayar harga tiub sahaja sudah memadai. Ini kerana mungkin dia kasihan melihat kami yang kesusahan, dan sempena Tahun Baru Cina pula. Kami mengucapkan terimakasih atas pertolongannya. Juga kepada lelaki India tersebut yang sudi menolong pada saat-saat sedemikian.
Sempena sambutan merdeka ini, saya mengucapkan jutaan terimakasih dan rasa terhutang nafas kepada:
Para Pejuang Kemerdekaan yang berjuang dengan keringat dan darah demi memerdekakan tanah ini dari rantai penjajah. Doa saya untuk anda semoga anda semua tenteram, sentosa dan berbahagia dalam kehidupan ini dan kehidupan selepas kehidupan ini.
Kepada Anak Merdeka (mereka yang lahir pada atau selepas 31 Ogos 1957 sehingga 15 September 1963) yang memulakan langkah memajukan tanah ini dan menyediakan tapak yang lebih makmur dan subur buat meneruskan kelangsungan hidup kita di atas bumi bertuah ini.
Juga rasa bangga dan setinggi penghargaan saya kepada
Anak Malaysia (mereka yang lahir pada 16 September 1963 dan selepasnya) kerana menunjukkan komitmen dan merealisaikan impian para pejuang kita terdahulu.
Sebagai tanda penghargaan ini saya berjanji dan berusaha mengisi dan mengekalkan kemerdekaan ini dengan nafas saya, tangan saya, lidah saya, hati serta fikiran saya dan tentunya dengan darah saya!!
10 Ramadhan 1430H
31 Ogos 2009
SALAM 1 MALAYSIA -52 tahun kemerdekaan.
09 September 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment