15 June 2010

gulai asam rung


Agak lama juga tak menikmati gulai asam rung. Atau disebut juga gulai rung. Ahad lepas balik dari Nilai, singgah di Simpang Kallang, Raub. Kedai yang menyediakan juadah ini  saya tak perasan namanya. Namun tertulis di rak lauk-pauknya ‘Selera Kampung’.   Saya diperkenalkan kedai makan ini oleh seorang kawan, Shahnam pada tahun lepas. Gulai ni mesti ada setiap hari di kedai makan ni.

Gulai rung ikan keli pun dibungkus pulang bersama ikan kembong bakar, air asam, sambal hitam  dan sedikit ulam-ulaman.

Makan tengahari pada hari itu memang menyelerakan. Namun soal selera atau sedap memang subjektif. Bukan semua ahli keluarga menggemarinya. Saya dapati gulainya memang pedas. Ada juga terasa lebih kunyit.  Sambal hitam dia pun terasa juga lebih kunyit. Barangkali inilah citarasa orang Raub.

Selain ikan keli, rencah lain di dalam gulai ini antaranya pucuk paku, terung telunjuk, terung manggur, jantung pisang dan yang wajib ialah asam rung. Pernah sewaktu dulu saya membeli di Pasar Ramadhan Raub, rencah di dalam gulai rung ini lebih kompleks lagi. Terdapat pucuk keledek,  pucuk ubi kayu, ubi kayu, keledek, ikan patin, ikan lampam, kangkung,  daun kesing dan entah apa-apa lagi. Kuahnya pekat dan kemasam-masaman. Tapi itulah uniknya gulai rung.

Asalnya asam rung ini diperbuat daripada isi buah perah yang diperam. Ada juga alternatif lain menggunakan isi biji getah kerana lebih mudah didapati. Rasanya sedikit berbeza, namun masih menyelerakan. Gulai rung versi biji getah katanya lebih popular di Tembeling. Namun umumnya,  gulai rung lebih sinonim dengan orang Raub.  Sebagaimana sambal hitam dikenali di Lipis. Jika ditanya orang Jerantut, mereka mendakwa sambal hitam hakcipta orang Jerantut. 

Secara asasnya cara menyediakan gulai rung adalah begini:-

Tumbuk lada kampung bersama garam dan kunyit hidup. Masukkan sekali asam rung. Masukkan bahan-bahan ini ke dalam  belanga. Kemudian masukkan air diikuti dengan ikan pilihan. Biasanya ikan sungai atau ikan paya seperti lampam, kenerak, baung, keli, limbat, puyu atau toman. Didihkan sehingga isi ikan sudah lembut. Masukkan pula sayuran kampung seperti yang disebutkan di atas.  Didihkan beberapa minit lagi. Cuba rasakan kuahnya. Pastikan secukup rasa. Sebaiknya sayuran tersebut dimasak tidak sampai layu. Selesailah prosesnya. Mudah sahaja.
Selamat mencuba. 



No comments:

Post a Comment