01 February 2011

Ginseng Jawa

Tahukah anda pokok Jelai?  Telang?  Sembung? Rumput Israel? Saya baru sahaja selesai membaca sebuah buku berkaitan Herba. Buku ini dipinjamkan oleh Haizuan, rakan sepejabat. Terdapat 108 jenis herba yang dihuraikan dalam buku ini. Paling penting khasiat perubatan yang dapat kita manfaatkan.
Malaysia mempunyai kira-kira 1300 spesies tumbuhan herba. Hanya 200 yang digunakan dalam perubatan tradisional. Selebihnya masih tersimpan dalam farmasi besar iaitu hutan belantara tanahair.


Ada beberapa spesies herba ini yang memang biasa  kita dengar seperti Misai Kucing, Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Bunga Tanjung, Kemangi atau Mas Cotek. Ada juga yang sukar ditemui atau tidak pernah didengar namanya. Misalnya Gadis Lompat, Sintok, Sri Gading, dan Derhaka Mertua. 

Saya juga ada menanam sedikit herba di tepi rumah. Sekadar hobi sejak dahulu lagi. Selain dari khasiat perubatan, menanam pokok herba dan ulam-ulaman dapat merehatkan minda, suatu terapi untuk otak yang stress. Misalnya di tepi rumah ada kunyit, halia bara, kacang kedelai, ulam raja, stevia, pegaga, serai, kucai, peria, sambung nyawa, kacang panjang, daun kesum dan lada. 

Paling banyak membiak dan merebak ialah ginseng jawa. Ia membiak melalui keratan batang dan biji benih. Oleh kerana bijinya tersebar secara letupan seperti biji keembung, maka pembiakannya sukar dikawal. Akibatnya anak-anak pokok ginseng jawa ini terdapat di hampir setiap tempat bertanah di tepi rumah. Itupun saya sudah memberi kepada jiran-jiran dan rakan pejabat. Haizuan, rakan saya itu  meminati herba. Namun dia tidak pernah mendengar tentang ginseng jawa. 

Dala buku ini tiada info tentang ginseng jawa. Dari namanya jelas ia berasal dari Indonesia. Pokoknya mudah hidup, penjagaan minima. Lasak dan tak perlu siram selalu kerana batangnya mengandungi air. Selain daunnya dibuat ulam, masak lemak atau kerabu, bunganya cantik, ungu kemerahan. Sesuai juga sebagai bunga hiasan.  Jika ditanam di atas tanah gembur, ubi ginsengnya senang dicabut. sama bentuknya seperti ginseng China, Korea atau Amerika. Ubi ginseng ini boleh dibuat jus untuk menurunkan suhu badan yang panas. Boleh juga dikeringkan dan disimpan  untuk kegunaan di masa lain.



Setakat ini Malaysia belum mempunyai ginseng sendiri. Kementerian Pertanian (MOA) patut juga membuat penyelidikan melalui MARDI bagaimana kita dapat memperkenalkan ginseng sendiri. Memiliki ginseng sendiri jenama Malaysia  dapat meningkatkan imej negara di mata dunia. 
Ginseng Jawa sudah diisytiharkan sebagai milik Indonesia. Jangan kita mengakui pula sebagai ginseng Malaysia. Nanti berkonflik lagi....


2 comments:

  1. Bagusnya! Saya suka tanaman herba yang boleh buat hidangan!
    Saya baru tahu saya ada tanam Ginseng Jawa, saya cuma tahu ia dipanggil ginseng sebelum baca blog ini.
    Biasanya saya masak daun-daunnya dengan mee sup. Terima kasih!

    ReplyDelete
  2. boleh jual kat saya pokok ginseng jawa tu?

    ReplyDelete