08 March 2011

anti klimaks



Ketika  remaja, Awang Ngah (AN) seperti remaja lain juga, sangat sukakan muzik. Semasa menunggu keputusan  melanjutkan pelajaran, AN sempat belajar bermain gitar daripada rakan-rakan. Kebolehan AN dalam bermain alat muzik ini agak baik juga. Sehingga oleh kerana gigih berlatih setiap hari, AN akhirnya menjadi sifu pula kepada rakan-rakan . 

Bakat dan kesungguhan AN dan rakan-rakan  dikembangkan lagi sehingga mereka menubuhkan sebuah band.  Band mereka selalu  membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan dan program-program jabatan kerajaan dan bukan kerajaan.  Sehingga mereka menjadi agak glamour juga. Peminat semakin ramai. Tidak ketinggalan gadis-gadis kampung berhampiran , ramai yang menaruh hati kepada AN dan band boys.
 
AN bersama Yenki dan Ajis selalu mengunjungi perkampungan orang asli berdekatan.  Suatu malam sedang mereka menyanyi diiringi petikan gitar, Nem, seorang anak muda orang asli, si penyanyi itu, tiba-tiba rebah ke tanah. Semua jadi panik. Masing-masing tertanya-tanya apa ke jadah yang telah berlaku.  Waktu itu sudah pukul 3 pagi.  Nem diangkat naik ke rumah dan dibaringkan ke serambi. 

Kaum keluarganya terjaga dari tidur. Ibu Nem memberikan AN sebiji  tempurung yang mengandungi bara api. AN tidak menerimanya kerana itu bukanlah kaedah yang sebenar untuk memulihkan orang pengsan.  Asap api dari tempurung tersebut hanya akan mengundang dan menggalakkan jin dan syaitan datang. Sememangnya ada jin yang menjadikan asap sebagai makanannya.  Sebaliknya AN meminta semangkuk air sejuk. 

AN tenang. Dia membacakan surah Al Fatihah, diikuti ayatul Kursiy sebanyak 11 kali. Lalu ditiup kepada air dan kepala Nem. Air kemudiannya disapu ke muka, kepala, tangan dan badan Nem.  Sekonyong-konyong Nem membuka mata dan tersedar lalu bangun.  Ibu Nem sangat gembira. 

Kawasan hutan belantara begitu sememangnya amat digemari oleh jin dan syaitan. Apatah lagi waktu dinihari, ditambah pula lepak-lepak sambil main muzik dan melalak menyanyi. Ini disedari oleh Awang Ngah.  Awang Ngah sendiri tidak menyangka itulah langkah permulaan beliau menjadi bomoh... istilah yang lebih sesuai... perawat.

Kesembuhan itu datang daripada Allah SWT. Manusia diperintah untuk berikhtiar..

Wallahua'lam.

Al Fatihah kepada Yenki dan Ajis.




No comments:

Post a Comment