07 March 2012

lagu cinta lama (v)


KEKEJAMAN MEMADAMKAN KEMANUSIAAN!!

Pada suatu petang, Silong pulang ke rumah. Dia diiringi  pemandu   Pan Jang yang menunggu dalam sebuah kereta  Mini Cooper. Rupawan tiada di rumah. Barangkali ke rumah jiran.  Ramlah diarah bersiap lebih kurang dan segera mengikuti ayahnya  menaiki kereta.  Adik-adik Ramlah hanya mampu melihat dalam keadaan terkesima. Segalanya pantas. 

Ramlah, anak yang taat lagi baik tingkah  itu dibawa ke kongsi balak tempat ayahnya bekerja. Kata Silong Ramlah akan dikahwinkan dengan orang kaya. Hidupnya akan senang. Betulkah? Kehalusan perasaan seorang  perempuan tidak dapat dibohongi. Ramlah mulai merasakan sesuatu yang tak kena. Mengapa ibunya tidak diberitahu? Mengapa segalanya tergesa-gesa? Mengapa berkahwin dengan sesorang yang tidak  pernah dicintainya atau sekurang-kurangnya sesorang yang kenalinya?  Pernahkah ayahnya tahu bahawa  Ramlah mencintai seseorang?

 Oh, ibu!!! Air mata Ramlah sudah   tumpah sebaik sahaja dia memasuki kereta menuju ke kongsi balak. Sesampainya di kongsi, suasananya  asing.Terpencil dalam hutan. Terdapat jentera dan lori balak. Kelihatannya orang-orang di situ semuanya lelaki  dan bermata sepet.  Ramlah dibawa ke sebuah rumah di hujung kongsi. Ayahnya mengarahkan Ramlah  masuk. Kata Silong,  suami Ramlah ada di dalam. 

Ramlah bukanlah bodoh meski dia tidak habis bersekolah.   Bisikan hatinya menyatakan malapetaka akan melanda dirinya. Dia ditolak masuk oleh ayahnya. Di dalam dia mendapati seorang lelaki gemuk sedang mengadap meja sambil menulis sesuatu. Di mulutnya sebatang rokok berasap. Memandang Ramlah dengan senyum  gembira. Sehelai singlet berlubang-lubang kecil dan bertompok-tompok seribu tahi lalat membalut  tubuhnya  yang melekit peluh dan hamis.  

“ Awak anak Silong aa? Aaahhaa... Silong mau awak kawin sama saya. Pasal Silong sudah banyak hutang. Dia tak pandai main judi.  Awak kawin sama saya laa... itu hutang ayah awak kasi habis.”
Bagaikan kayu balak menghempap ke atas kepalanya, tiba-tiba kepala Ramlah terasa berat,matanya berpinar-pinar, tubuhnya melayang. Dia rebah....

lagu cinta lama (iv)


KEMISKINAN ADALAH KEKEJAMAN!!

Ibu Ramlah, Rupawan namanya,  mengambil upah menoreh getah. Getah tua daripada baka yang ditanam biji, bukan getah klon, tidak menghasilkan susu getah yang banyak. Kulit pokok getah itu pun sudah beberapa kali pusingan torehannya setelah beberapa tahun. Ditokok lagi harga getah yang tidak stabil mainan pasaran dunia, ditambah lagi dengan kudrat  Rupawan yang tidak sekuat mana, dicampur dengan kekerapan hari hujan, di samping kebun getah yang semak samun.  Selalu juga Rupawan diserang sakit pening, demam sejuk, lenguh lutut atau luka-luka ringan. Setiap minggu Rupawan akan mengutip getah untuk dijual ke tauke Cina. Duit ini akan dibahagi dua pula dengan tuan punya kebun getah.  Maka banyak mana lah hasil yang diperolehi . 

Ayah Ramlah, Silong,  bekerja dengan tauke balak, Pan Jang.   Sering juga  Silong tidak balik ke rumah berhari-hari. Dia masuk hutan menebang balak.  Bila  balik, Silong  hampir tidak pernah membawa wang.  Rupawan, Ramlah dan adik-adik Ramlah tidak berani bertanya. Silong lebih banyak berdiam diri. Watak ayah dulu-dulu memang tak banyak cakap, tegas, dan ditakuti oleh anak-anak. 

Dengan wajah yang manis, mahir mengurus kerja rumah, ada sedikit pelajaran  dan bertanggungjawab, Ramlah adalah gadis pingitan. Gadis kampung yang suci lagi naif dari godaan hidup kota yang menghancurkan.  Ramlah dianggap sudah  layak berumahtangga. Inilah nasib anak perempuan seperti Ramlah.  Lantaran kemiskinan, melepaskan anak perempuan pergi dari keluarga mungkin suatu pilihan bagi meringankan beban.  Ramlah harus dikahwinkan segera.

Sebagai anak yang taat kepada ibu dan ayah, Ramlah tiada pilihan. Untuk terus tinggal di rumah, dia  tidak dilihat perlu lagi. Adik perempuannya yang berusia 14 tahun sudah sedikit boleh membuat kerja rumah.  Untuk sambung belajar, Ramlah sudah lama meluputkan impian itu dari benaknya. Untuk bekerja di bandar, dia takut kerana tidak pernah berjauhan dari keluarganya. Lagipun tidak pernah ada  anak perempuan di kampungnya yang bekerja di bandar. 

Ayahnya mahukan dia segera berkahwin. Apakan daya. Jika boleh dia mahu  terus tinggal lagi di rumah bersama ibu dan adik-adik. Belum puas memeluk ibu dan adik-adik. Belum puas memarahi dan menyayangi adik-adik. Belum puas berbakti kepada ibu. Paling tidak untuk beberapa tahun lagi. Dia belum bersedia untuk berkahwin.  Namun, rata-rata kawan-kawannya sudahpun berkahwin. Oh ya, memang anak-anak  gadis di kampungnya itu berkahwin pada usia belasan tahun.

lagu cinta lama (iii)


Ketika  saya balik ke kampung baru-baru ini, Awang Kundur bercerita lagi. Cerita ini sebuah kisah benar. Berlaku dalam tahun 1940an.

Ramlah  seorag gadis berusia lebih kurang 17 tahun. Dia hanya bersekolah sehingga darjah tiga. Keluarganya sangat miskin. Ramlah anak sulung daripada  lima orang adik beradik. Sebagai anak sulung, lagi perempuan, maka tradisinya, tugas-tugas rumah diwarisi oleh Ramlah. Dia mendapat pelajaran ini secara tunjuk ajar daripada ibunya  secara langsung. Kadang-kadang ia meniru atau memerhatikan perlakuan ibunya.

 Justeru hakikatnya tiada sebuah kitab pun   yang dapat  memberi  panduan secara tuntas kepada mana-mana anak perempuan dalam mempelajari kemahiran rumah tangga, samada untuk menjadi seorang kakak, seorang isteri, seorang ibu, atau tinggal sebagai andartu, tapi masih tega melakukan urusan rumahtangga.  Maka sanggup atau tidak, kemahiran ini perlu dipelajari.  Terutama kemahiran yang tersirat. Ketabahan.

Adik-adiknya yang lain, seorang belum bersekolah, seorang  masih bersekolah dalam darjah dua, dua orang lagi sudah habis sekolah, tamat darjah tiga, macam Ramlah.