09 March 2009

HARI INI ≠ SEMALAM -1 pengalamian


Pada 16 Feb. saya, Fauzi dan Faizal (3F) tiba di Brinchang pukul 8.20 malam. Sebelumnya kami melalui Gua Musang , terus ke Lojing dan Kg. Raja. Sewaktu makan malam, Burn, Khairul Azrin dan seorang ustaz dari Kuala Terla datang. Kami raikan salam perkenalan dengan makan bersama sambil berbual. Sampai di Tanah Rata pukul 9.00 malam. Menginap di Carnation Park. Talian telefon tak berapa jelas. Lantai apartment pula rasa macam tak boleh pijak. Sejuk.

17 Feb 2009. Pukul 6.30 pagi Faizal menghantar saya ke Lily Park. Bertemu Ustaz K. Kami berkenalan. Faizal seterusnya menghantar Fauzi ke Tanah Rata dan dia sendiri ke Kuala Terla Saya membonceng Ustaz K ke PPD Tanah Rata bertemu Cikgu Shah yang ’MC’ hari ini kerana anaknya tak sihat. Cikgu Shah memberi pinjam motosikalnya. Saya dan Ustaz K mengenakan baju hujan, seluar trek dan but getah. Kami meneruskan perjalanan dalam gelap kabus subuh yang dingin ke Habu, langsung ke Ringlet dalam masa 30 minit. Selepas mengisi minyak , Ustaz K memberhentikan moto untuk bersarapan di sebuah gerai melayu. Semua pelanggannya pekebun sayur, orang cina. Seorang cina berbual dengan kami menceritakan pengalamannya membawa bas rombongan budak sekolah dari Lemoi.

Ustaz K membisikkan kepada saya ramai pekebun di sini ada hubungan dengan kongsi gelap. Pekebun cina itu bangga menceritakan bahawa anaknya tak lama lagi akan ke Russia sambung belajar ketenteraan. Katanya ada 3 sahaja anak orang cina di Malaysia yang belajar di RMC Sungai Besi dan terpilih ke Russia. Saya kagum kerana tak ramai orang Cina minat tentera.

Pukul 7.30 pagi kami sambung perjalanan. 2km pertama, kiri kanan dilatari kebun sayur. Bukit sayur..Bau baja menusuk hidung. Ustaz K bawa moto laju juga. Dia dah biasa. Kerap kali saya kehilangan dia. Dia menunggu saya bila saya agak lambat. Brek moto Cikgu Shah sebenarnya tak berapa elok. Mujur saya pandai kawal. Kalau tidak mungkin boleh masuk gaung atau jeram. Ada satu tempat kami terpaksa melalui bawah jambatan yang belum siap.

Sepanjang 18km perjalanan banyak terjumpa pekerja jalan baru sampai untuk bekerja. Saya dan Ustaz K mengangkat tangan kepada mereka, tanda mesra. Mereka membalas dengan mengangkat tangan juga. Rata-rata kulit hitam. Selebihnya sawo matang.
Jentolak dan jentera jalan banyak terdapat di sepanjang perjalanan. Jalan ini bakal menjadi laluan utama dari Sungai Koyan, Kuala Lipis, terus ke Betau, Menson dan Ringlet. Jika siap nanti perjalanan dari Lipis ke Cameron Highland akan menjadi 1 jam setengah sahaja berbanding 3 jam setengah melalui Gua Musang.

Pemandangan sepanjang jalan memang cantik. Hutan hujan, kabus, anak sungai, jeram, batu besar, bukit, selekoh, jambatan kecil, lecah dan selut.

8.30 sampai di SK Menson. Wow!!! Cantiknya..! Bersih, dingin, dan ceria. Memang sukar dipercayai dalam hutan tebal begini, ada sekolah. Kelihatan murid-murid sedang berlatih sukaneka.. Saya berjumpa GB, Baha bin Mohd Said. Beliau menyatakan SK Menson ada 249 murid, 120 orang beragama Islam. Tahun 4,5, 6 tinggal di asrama. Semua suku kaum Semai. Bukan Sekolah Kurang Murid (SKM). Ada 22 guru. Termasuk 2 guru perempuan bujang. Guru di sini dapat RM500.00 sebulan elaun pedalaman. GB juga beritahu SK Telanok setengah jam dari Menson. SK Lemoi 1 jam lagi. Buat masa ini ke Lemoi moto pun tak dapat masuk sebab ada runtuhan batu di tengah jalan.

Pukul 9.00 saya membuat clinical supervisison. Sesuatu yang mengejutkan bagi saya bila murid-murid Semai ini membaca doa, ayat al-Quran, menyebut perkataan Arab dan menulis jawi dengan agak baik. Guru j-QAF, Sajidin memberitahu, Kg. Kuala Boh berdekatan semua penduduknya beragama Islam. Ada masjid dan imam sendiri. Saya dapati murid OA di sini berpakaian kemas, bersih dan tubuh badan mereka tidak berbau. Ustaz K kata ini disebabkan mereka mengamalkan ajaran Islam

Setelah penyeliaan, GB mempelawa saya menikmati jamuan di kantin. Pengusahanya OA juga. Tapi muslim. Menu nasi goreng dan sup daging. Supnya kelihatan tidak masuk dengan selera saya. Saya cuba menelan. Oooohh….sedaap…

Pukul 1 tengahari 4 orang guru akan keluar ke PPD di Tanah Rata. Mereka mendapat mesej (guna telekomunikasi ala telegraf) satu mesyuarat tergempar akan diadakan petang ini. Setelah selesai urusan, Ustaz K memberitahu saya masa untuk pulang. Kami bertolak balik. Tak sempat nak ikut cikgu 4 orang itu. Saya pula kerap memperlahankan moto untuk menikmati keindahan alam.

Sampai di Tanah Rata saya menelefon Faizal untuk menjemput saya balik ke apartmen. Bila ternampak saya yang berpakaian baju hujan penuh debu dan moto yang penuh percikan lumpur, Fauzi dan Faizal tergelak….

Esok 18 Feb. 2009 saya akan ke Terisu pula…

No comments:

Post a Comment