09 March 2009

TEROWONG MASA








5 Mac 2009, Khamis. Setelah lebih setengah jam meredah kabus pagi dari Berchang, Kuala Lipis, pada pukul 7. 46 pagi saya sampai di Felda Sungai Koyan. Pagi ini ada Pekan Sari. Saya memberhentikan moto di depan gerai buah. Beli selonggok epal hijau RM5.00.

Lalu singgah di Balai Polis Sungai Koyan. Berjumpa konstabel Azmi. Memaklumkan saya akan masuk ke Titom. Konstabel Azmi meminta maklumat yang perlu. Dia menasihatkan saya berhati-hati. Sebaiknya saya bawa parang, katanya.

Masuk ke simpang tiga Raub-Betau-Kuala Medang, saya berhenti di tepi jalan, mencatat meter di skrin KM motor. Perjalanan melalui jalanraya 30km seakan tidak terasa lamanya. Seingat saya, saya hanya bertemu 2 buah kereta. Sampai di Betau, saya singgah di klinik bertanya kakitangan di situ. Din namanya. Di tangannya ada sehelai daun sireh. Dia menerangkan arah jalan yang saya harus lalui.

Perjalanan diteruskan. Mula-mula lalu jalan simen lebih kurang 100m. Bertemu pengawal di pangkal jambatan. Selepas jambatan, ada jalan tanah ditaburi batu-batu halus tajam. Kemudian berjumpa pacuan 4 roda yang berhenti di tepi jalan. Penjual barang rupanya. Saya ambil peluang bertanya. Pak cik penjual memberitahu dia masuk 3 kali seminggu. Ada barangan seperti sadin, sayur, barang mainan, ikan patin, biskut dan rokok dalam boot kereta. Kobis panjang sebesar lengan tertulis RM4.00. ...Agak mahal.! Dia mencadangkan saya mengekorinya ke Lenjang. Sementara menunggunya saya minum air bekalan. Tapi botol air saya bocor. Sedikit sahaja air yang tinggal.

Selepas lebih kurang setengah jam saya mengekorinya, dia berhenti. Dia suruh saya jalan dulu. Kalau saya keliru, boleh tunggu dia. Saya pun jalan dulu. Jalan makin teruk, ada titi reput, ada anak sungai kecil tak ada titi, kubang babi ditengah jalan pun ada. Lumpur selut memanglah menghiasi sepanjang jalan. Bukit batu dan selekoh licin membuatkan punggung rasa kematu akibat terhentak-hentak. Jalan rata jarang sangat saya jumpa. Sekali sekala saya berselisih dengan moto orang Semai. Ada yang senyum, ada yang buat-buat tak pandang. Tak kisah, janji tak kacau saya. Apa yang saya bimbang adalah gangguan manusia. Gangguan binatang buas, saya tak cuak sangat. Kecuali ular tedung selar yang tiba-tiba melintas. Kalau ia dah mengangkat kepala setinggi manusia berdiri, alamat....


Bagaimanapun, kedinginan hutan belantara ini membuatkan saya damai. Tiba-tiba saya terlihat ada moto berhenti di tepi jalan. Ada 2 orang asli, lelaki dewasa. Mereka menahan saya. Dalam bahasa Melayu bercampur Semai, mereka memberitahu saya bahawa motor mereka habis minyak. Saya ada bawa minyak 1 tong 5 liter. Tapi saya tak dapat memastikan berapa jauh lagi destinasi saya. Jadi lebih baik saya jalan dulu. Jika tidak saya akan lambat sampai. Saya pun nekad meredah sendirian.

Tidak lama, saya berjumpa pula dengan moto berhenti di tengah jalan. Ada 2 orang lagi. Motonya pancit tayar belakang. Saya tak dapat menolong. Saya teruskan menunggang selama setengah jam lagi. Sampai di Kg. Dayok (seperti tertulis dengan cat di atas batu) saya ditahan oleh seorang pak cik. ”Han cip malok?” tanya dia. Saya kata ”muut Titom.” Dia pula nak pergi ke Lenjang. Dengan menggunakan beberapa patah perkataan Semai yang saya tahu, saya berjaya memujuk pak cik tersebut agar menunjukkan saya di mana arah jalan ke Titom. Oh ya, namanya Tiul. Sepanjang perjalanan dia banyak bercakap. Mungkin dia menyangka saya fasih berbahasa Semai. Tapi saya tak berapa dengar sebab angin melalui tepi telinga saya. Lagipun saya memakai topi keledar!!! DAN, lucunya, 90km dalam hutan hujan tropika ini, dalam jaket saya, saya memakai baju batik dan saya juga pakai nametag pada baju saya..!!

Hampir setengah jam kemudian kami tiba di hadapan Sekolah Kebangsaan Lenjang.! Sekolahnya cantik, bersih. Saya bertanya kepada Tiul, di mana arah ke Titom? Tiul kata dia sudah beritahu tadi semasa kami melalui simpang Titom. Tapi saya tak dengar. Saya memintanya mengikuti saya menunjukkan semula arah simpang tersebut. Rupanya kami sudah terlepas 5km ke belakang. Setelah sampai di simpang tersebut, saya kasihan melihat Tiul. Saya menghantarnya semula ke Sekolah Lenjang. Dia kata ingin mengambil wang KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) bagi pihak anaknya. Anaknya 3 orang bersekolah di SK Lenjang. (Saya difahamkan KWAPM bernilai RM200 bagi setiap pelajar yang layak).

Sampai di Simpang Titom, saya terbaca; 26km! Saya melihat jam; 11.15am. Mungkin pukul 2 petang baru saya sampai agaknya. Saya teruskan jua. Alang-alang. Tapi jalan lebih teruk daripada tadi. Lebih kecil, lebih curam, lebih berselut, dan lebih meremangkan bulu tengkuk. Ada tempat yang mana batu besar tertanam di tengah jalan. Ada juga tempat yang macam mistik lagi misteri.

Sampai di satu tempat, saya bertemu jalan mati. Di hadapan betul-betul sebuah sungai jernih selebar 10m. Airnya separas lutut dalam. Mengalir tenang. Kalau saya redah, pasti air akan membasahi spark plug dan masuk ke dalam ekzos. Saya memeriksa sekeliling. Ada sebuah jambatan buluh muat untuk sebuah moto. Tapi alangkah uzur dan hampir reput. Saya melaluinya dengan penuh debaran. Lepas. Di seberang sungai tak sampai 1km saya menemui SK Titom.

Saya sampai pada pukul 11.50am. 4 jam setengah perjalanan, 140km. Berkenalan dengan Romi Fazli bin Mustafa, dari IPGM Kampus Dato Razali Ismail, Kuala Terengganu. Beliau adalah guru pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, Pemulihan SR, SKM. Sedang menjalani praktikum di SK Titom. Berusia 32 tahun. Selain itu saya juga berkenalan dengan Cikgu Mat Noor (prasekolah), Cikgu Masri (OA dari Betau), Cikgu Azmir (dari Terengganu), beberapa guru lagi dan seorang cikgu, saya lupa namanya, dah 5 tahun berkhidmat di Titom. Masih bujang.

Sejenak berada di sini, saya merasakan seperti telah kembali ke zaman lampau. Di sebuah daerah pada tahun 70an, tapi berada di tahun 2009.

Pukul 2.20 petang, saya memulakan perjalanan pulang. Terpaksa awal sebab langit sudah mendung. Dalam perjalanan, hujan menemani saya... Saya sekali lagi melalui terowong masa.. Kembali ke masa hadapan. Sesungguhnya saya benar-benar mengalaminya......

Sekadar ingatan untuk diri sendiri: Sebelum 17 April 2009, saya akan ke Titom bertemu Romi Fazli sebanyak 3 kali lagi..!

No comments:

Post a Comment