10 July 2009

PAMAH KULAT


Jumaat, 10 Julai 2009. Saya ke Pamah Kulat lagi. Berjumpa cikgu Tabika KEMAS yang gigih itu - Cikgu Saabah. Seperti biasa saya mencerap proses P&P yang dirancang dalam buku rekod mengajarnya dan dilaksanakan di dalam kelas TABIKAnya yang ceria. Saya menyemak folionya yang memang tebal, kreatif, penuh maklumat dan bahan bukti. Beliau juga menulis jurnal praktikum yang relatif panjang dalam bentuk deskriptif. Isu-isu telah dianalisis dengan baik. Dari aspek dokumentasi, sudah menepati piawai. Pelaksanaan P&P pula menggunakan pelbagai strategi, kaedah dan teknik. Misalnya koperatif 3 Stay 1 Stray, Projek dan Simulasi. ABM daripada kotak terpakai memang kreatif. Murid-murid telah diterapkan KBKK dan nilai murni secara langsung dan tersirat. Keseluruhan P&P berjaya, murid-murid aktif, amat responsif dan seronok belajar. Cikgu Saabah juga seronok mengajar. Objektif P&P tercapai sepenuhnya. Beliau memang layak ditauliah sebagai guru cemerlang.

Sebelum saya pulang, beliau bersama pembantunya telah menyediakan makan tengahari untuk kami sama-sama menikmatinya. Gulai lemak ikan talang bersama sayur terung, ayam goreng dan sambal tumis petai. Sekonyong-konyong sebaik kami nak mula makan, muncul Pak Uda, Pengerusi TABIKA. Kemudian seorang pak cik, AJK TABIKA yang sebenarnya nak menjemput anaknya. Bagai dirancang, muncul pula Tok Empat Pamah Kulat (memang dirancang oleh Cikgu Saabah). Meriah jadinya. Tok Empat singgah menghantar durian. Katanya pagi ini sahaja sudah 2 lori dia membeli durian daripada orang kampung! Durian ini dihantar ke Kuala Lumpur dan Singapura. Memang Pamah Kulat sebuah kampung perdusunan. Tok Empat menjemput saya ke dusunnya untuk mengutip sendiri durian.

Sebelum menuju kereta, saya dibekalkan durian dan rambutan oleh Tok Empat. Manakala Noriani, pembantu TABIKA menghulurkan sebiji labu. Katanya jika saya ke rumahnya di Jelu ( tak jauh dari Pamah Kulat) buah salak dan langsat sedang masak sekarang. Tapi saya tak berkesempatan. Terimakasih banyak kepada orang Pamah Kulat. Mereka semua sangat baik hati, pemurah dan peramah. Saya sangat bahagia dapat menjalin persaudaraan dengan mereka ini. ORANG BERBUDI KITA BERBAHASA, ORANG MEMBERI SAYA MERASA. Memang saya dapat rasakan betapa terharunya dalam hati. Cuma mata saya sahaja yang tidak berkaca...

2 comments:

  1. pada 14 Jul 09 Dr. Rita Gosh telah membuat penyeliaan rentasan terhadap Cikgu Saabah sebagai pengesahan calon cemerlang. Dr. Rita memperakui bahawa Cikgu Saabah layak diberi tahap cemerlang dalam praktikum. Tahniah Cikgu Saabah! Portfolio Cikgu Saabah telah dibawa balik ke kampus oleh Dr. Rita sebagi sampel portfolio terbaik.

    ReplyDelete
  2. pada 14 Jul 09 Dr. Rita Gosh telah membuat penyeliaan rentasan terhadap Cikgu Saabah sebagai pengesahan calon cemerlang. Dr. Rita memperakui bahawa Cikgu Saabah layak diberi tahap cemerlang dalam praktikum. Tahniah Cikgu Saabah! Portfolio Cikgu Saabah telah dibawa balik ke kampus oleh Dr. Rita sebagai sampel portfolio terbaik.

    ReplyDelete