18 May 2010

RESIPI SAMBAL HITAM



Sambal hitam memang popular di Kuala Lipis. Setiap anak jati Lipis tahu apa itu sambal hitam. Ia  salah satu identiti Kuala Lipis selain rendang hitam, ikan kelah dan buah salak. Walaupun demikian, sekali sekala sambal hitam boleh juga didapati di Raub, Jerantut atau Bentong. Jarang-jarang pula terdapat di Temerloh, Bera, Kuantan dan daerah lain di Pahang. Rasanya sedap, bahkan amat sedap bagi penggemarnya. Namun begitu ada juga yang tidak gemarkannya.

Melalui tinjauan yang dibuat, ramai bukan orang Pahang yang sudah terpikat dengan keunikan rasa sambal hitam. Rasanya lebih kepada kemasam-masaman. Kerap juga kita jumpa sambal ini di kedai-kedai makan di Kuala Lipis. Misalnya di Penjom, ia menggantikan sambal ikan bilis yang biasa bagi nasi lemak atau pulut. Kini ia dijual dalam bekas kecil dengan harga serendah RM2.00.

Menurut Mak Andak dari Kampung Berchang, Kuala Lipis, setiap rumah orang Lipis mesti menyediakan  sambal ini pada kebanyakan masa makan. Kanak-kanak perempuan seawal usia 11 tahun sudah mulai tahu cara membuatnya. Resipi turun temurun lah katakan.

Secara asas, berikut ialah  resipi sambal hitam:

Belimbing buluh (direbus dengan garam sehingga kehitam-hitaman, dibuang airnya)
Ikan bilis
Lada
Minyak masak
Bawang merah

Belimbing buluh yang sudah direbus (biasanya antara satu hinga dua jam, bergantung kepada kuantitinya) dituskan airnya. Belimbing yang bertukar warna coklat kehitam-hitaman ini digelar asam belimbing.
Tumbuk ikan bilis sekadarnya jangan sampai hancur lebur. (Tumbuk dalam lesung batu ya, bukan guna penumbuk tangan) Masukkan lada sepedas yang dikehendaki. Tumbukkan bawang juga.  Akhirnya masukkan asam belimbing  yang memang sudah masam. Tumbuk atau lenyek sahaja dengan antan lesung batu sebab belimbing tu sudah sedia lembik pun. Garam tak perlu dimasukkan sebab asam belimbing sudah dicampur garam. Namun jika belum mencapai tahap leleh  yang dikehendaki oleh air liur, boleh saja tambahkan garam.

Panaskan minyak masak dalam kuali. Semua bahan tadi  dimasak sehingga naik aromanya. Selepas itu bolehlah dihidang dan dimakan bersama lauk-pauk yang lain. Menariknya, statusnya sebagai sambal kerap dinaiktarafkan sebagai lauk utama. Sambal ini juga boleh tahan untuk beberapa hari tanpa dingin beku. Jika disimpan dalam peti sejuk, lebih lama tahannya. Ada juga orang memakan sambal ini secara mentah sahaja.
Awas, jangan makan berlebihan. Impaknya sama macam makan sambal belacan...




3 comments:

  1. marvellous!!! thanks! dah lama carik resipi

    ReplyDelete
  2. resepi rendang hitam lipis ada tak

    ReplyDelete
  3. belimbing buluh hijau lebih sedap dari belimbing buluh kekuningan

    ReplyDelete