17 September 2010

Kurang ajar kah anak-anak kita?



Beraya di kampung baru-baru ini memang meriah. Rombongan bertakbir dari rumah ke rumah masih dijalankan seperti biasa.  Jika tidak disebabkan nak Solat Jumaat, mungkin ziarah akan berterusan  sehingga lewat tengahari.
Apa yang membuatkan meriahnya hari raya ini ialah riuh-rendahnya anak-anak. Kebetulan kali ini jumlah mereka nampaknya bertambah dua kali ganda. Sehinggakan tuan-tuan rumah ada yang terpaksa menempatkan anak-anak ini di ruang dapur tatkala rombongan ziarah bertandang.  Ramai anak-menantu yang pulang beraya. Ramai juga ibubapa dan mertua  yang bertambah cucunya.

Menariknya, tiada satupun rumah yang disinggahi menyediakan juadah di atas meja. Semua tetamu harus duduk di atas lantai. Macam kenduri. Maklumlah memang ramai. Anak-anak yang dalam lingkungan sekolah rendah sahaja tak kurang 50 orang dalam romobongan ini.  Kasihan juga melihat tuan rumah harus mengeluarkan banyak duit raya... Sesungguhnya amalan kunjung-mengunjung patut dimantapkan lagi di kalangan generasi muda. Agar mereka lebih menghargai jiran, saudara-mara dan rakan taulan.

Tanpa bertujuan mencacatkan kelebihan dan kepentingan berziarah pada hari raya, berikut adalah sedikit kritikan sosial untuk renungan bersama.

Pemberian duit raya adalah sedekah daripada tuan rumah. Terserahlah kepadanya hendak memberi atau tidak. Jumlahnya juga tidak ditentukan. Kini, anak-anak sudah menganggap duit raya sesuatu yang wajib diberi oleh tuan rumah. Malah ada yang langsung tidak menjamah juadah yang disediakan. Tujuan mereka semata-mata nak duit raya. Jika tidak diberi, mereka akan merungut. Lebih tak malu lagi mereka akan meminta terus dari tuan  rumah. Dalam soal ini, apakah peranan ibu bapa?

Seterusnya berkaitan adab tatkala bergaul dengan orang tua. Ada anak-anak yang sudah tidak tahu bagaimana seharusnya lalu di depan orang tua. Selamba sahaja berdiri tanpa menundukkan badan atau mohon izin lalu. Malah ada yang lalu seolah-olah nak berlari.
Tatkala semua orang tua duduk di lantai, ada pula anak-anak  yang duduk di sofa dengan kaki terjuntai-juntai hampir sahaja menendang belakang ayah dan atuk mereka.

Berkaitan adab makan pula, anak-anak juga perlu diajar agar tidak membazir. Jangan ambil makanan banyak, kemudian makan sedikit sahaja. Atau gigit sebelah biskut kemudian letak semula. Jangan minum sambil berdiri. Jangan menyepah-nyepahkan makanan.

Selain itu, tingkah laku bertamu juga perlu diberitahu kepada anak-anak. Misalnya duduklah dengan sopan, jangan gatal tangan membuka siaran TV atau mengalih-alih siaran, jangan membelek-belek dan mengalih barang perhiasan, jangan menyampuk perbualan orang tua, bercakap dengan suara yang rendah, jangan masuk ke dalam bilik,  tunjukkan muka yang manis dan senyuman kepada tuan rumah, jika boleh bersalaman dengan semua orang, memberi dan menerima menggunakan tangan kanan, mengucapkan terima kasih dan memberi salam.

 Adakah  saranan ini keterlaluan? Atau ajaran ini ketinggalan zaman? Apakah kita dahulu tidak diajar oleh orang tua kita tentang adab? Atau kita tidak mahu anak-anak kita mengamalkan nilai-nilai yang dianggap usang? Apakah nilai-nilai baru kita? Adakah apabila anak orang lain agak kurang ajar, maka anak kita harus begitu juga.?  Nilai-nilai individualistik tidak harus dipupuk dalam jiwa anak-anak. Demikian juga nilai-nilai materialistik..

SELAMAT HARI RAYA. MOHON MAAF ZAHIR DAN BATIN.

No comments:

Post a Comment