"Oghe Kito" bagi orang Kelate. "Orang Kelantan" bagi orang bukan Kelantan. Bagi sesiapa yang agak luas dan agak terbuka pergaulannya pasti menyedari perbezaan dan ciri-ciri orang Kelantan. Pertama sekali dialek yang ketara berbeza dengan dialek negeri-negeri lain di Malaysia. Inilah identiti utama orang Kelantan.
Meski mereka sudah berhijrah lama meninggalkan kampung halamannya, dialek ini sukar terubah. Ini kerana mereka suka bergaul sesama mereka sahaja. Mereka juga sering sahaja balik kampung saban minggu atau saban bulan. Jika tidak pun, orang Kelantan selalu kedapatan di mana-mana sahaja. Ini satu lagi cirinya- suka merantau.
Ketika saya dan taulan melancong ke Danau Toba, Medan, Sumatera Utara pada Disember 2008, saya agak terkejut apabila mendengar seorang penjual barangan cenderamata bercakap dalam dialek Kelantan. Namun ternyata dia orang Indonesia.
Sikap suka merantau samada mencari pekerjaan atau belajar sememangnya sinonim dengan orang Kelantan. Kelantan antara negeri yang ramai penduduk sedangkan sumber ekonomi agak terhad. Oleh itu keluar merantau adalah jalan terbaik.. Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan lelaki Kelantan cenderung memiliki lebih dari seorang isteri. Jadi tidak hairanlah bilangan anak menjadi ramai. Seterusnya bilangan penduduk juga ramai. Apabila sumber tidak cukup di tempat sendiri, maka berhijrahlah mereka.
Samada di Kelantan atau di luar Kelantan, sikap suka berniaga memang menjadi darah daging mereka.
Sehingga boleh dikatakan jika seseorang Kelantan itu tidak berniaga, maka dia bukanlah Kelantan tulin. Walaupun sekecil-kecil barang, akan diniagakan. Jati diri orang Kelantan yang kental inilah menyebabkan orang cina di Kelantan fasih bercakap dialek Kelantan sehebat orang Kelantan sendiri. Premis-premis perniagaan dikuasai oleh orang Kelantan juga. Dan di negeri-negeri lain juga ramai orang Kelantan memiliki perniagaan yang maju.
Dan petang ini (29 Oktober 2010) jika biasanya deretan kereta dari Kuala Lumpur melalui jalan Bentong-Gua Musang, pada setiap petang Jumaat, bagaikan pesta balik kampung, situasi kontra kini berlaku. Ratusan kereta dari Kelantan menuju ke Bukit Jalil dengan kibaran bendera merah. Biarpun perlawanan akhir Piala Malaysia akan berlangsung pada malam esok, gelombang merah telah menndebur di jalanan Gua Musang-Bentong.
Pertemuan Kelantan dengan Negeri Sembilan boleh dianggap sebagai pertemuan dua watak degil. Awang (Awe) bertemu Ujang (Jang). Ujang adalah panggilan kepada lelaki muda di Negeri Sembilan. Negeri Sembilan sinonim dengan Minangkabau di Sumatera Barat. Mungkin kita kurang beri perhatian kepada kekentalan semangat orang Minang dalam meneruskan kelangsungan hidup (survival). Melalui prinsip hidup hampir-hampir kepada matlamat menghalalkan cara ( maaf, bunyinya agak kasar, prinsip ini tersirat dalam ungkapan Minang dalam entri saya " Santun Melayu"), orang Minang berjaya hidup di perantauan. Buktinya lebih kurang seratus tahun lalu, mereka berjaya mendirikan kerajaan Negeri Sembilan, walhal mereka datang dari Ranah Minang.
Sikap suka merantau ini sama dengan sikap Kelantan (Ada satu pekan di Negeri Sembilan namanya Rantau).
Selain itu, orang Minang juga suka berniaga. (Lihat buku "Bisnes Minang vs Bisnes Cina".) Jika orang Kelantan dapat bersaing dengan orang Cina dalam bisnes, Minang juga boleh. Ini kerana ciri-ciri daya saing itu hampir sama dalam jiwa Kelantan, Minang dan Cina.
Teringat saya perumpamaan untuk suatu situasi yang sukar iaitu ketika dalam dilema. "Bagai mendapat buah simalakano, dimakan mati mak, disimpan mati bapak". Apa yang harus dibuat? Bagi orang Minang, jika demikian, jualkan saja!!! Itulah otak bisnes.
Oleh itu, tidak kisah siapa juara piala Malaysia 2010. Kelantan dan Negeri Sembilan mewakili dua entiti Melayu yang berjaya menonjolkan daya saing dan daya tahan. Ciri-ciri yang amat kita perlukan dalam melonjakkan bangsa Melayu menguasai apa juga bidang khususnya ekonomi dalam kehidupan global hari ini. Kita menunggu-nunggu juga kebangkitan semangat Tuah, Datok Bahaman, Datok Maharajalela dan yang lain-lain.. Apa agaknya sedang dibuat oleh cucu cicit mereka?
29 October 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment