08 November 2010

BUKIT FRASER


Negeri Pahang Darul Makmur memang dimaklumi banyak tempat menarik. Dari Puncak Gunung Tahan            ( tertinggi di Semenanjung) hinggalah ke  dasar laut pantai Pulau Tioman (tercantik di dunia) semuanya tersedia untuk dilawati.  Pergilah melancong ke Pahang, cuti-cuti Malaysia! (Promo).
Cuti Deepavali yang lalu tanpa banyak perancangan, berbincang  dengan ahli keluarga lebih kurang, lalu bergerak ke Bukit Fraser. Walaupun jarak dari rumah 90km sahaja, baru kini berpeluang bercuti  di sini dalam erti kata hampir sepenuhnya.  Pada 2007 saya pernah berkursus di sini. Namun, tak banyak peluang meninjau ke sana sini.       

2 jam perjalanan.  Macam lama. Sebenarnya jalan dari Raub ke Bukit Fraser  40km mengambil masa sejam.  Bengkang bengkok dan mendaki.  10kmterakhir mula dari GAP, jalan jadi selorong. Jam angka ganjil adalah untuk kereta naik, jam angka genap untuk kereta turun. Kami sampai jam  9,  jadi sempatlah naik. Tak perlu menunggu jam 11. Ramai pengunjung datang dari jalan sebelah Kuala Kubu. Dari Selangor lah tu..

Tanpa merancang sangat apa yang hendak dibuat, kami redah sahaja ke The Paddock, tempat menunggang kuda. Dengan bayaran RM8 untuk sekali pusingan. Diteruskan dengan membeli madu lebah. Seterusnya mencuba Archery. Memanah memerlukan posteur yang betul. Tegakkan badan, tutup mata kiri, selarikan tangan kiri dan kanan separas bahu, tarik sehingga ke pipi dan  lepaskan anak panah. Lenguh juga lengan...


Seterusnya menikmati panorama..konsep perkampungan Inggeris,  pokok pine, bunga-bunga tanah tinggi (ada yang namanya lipstick), bentuk rumah dan banglo ala Scottish.  Kebanyakan pengunjung membawa teropong untuk melihat burung yang pelbagai speisis. Ramai juga yang mengambil gambar dengan kamera yang dah tentu mahal-mahal belaka. Siap dengan tripod.  Nampaknya mereka jurugambar profesional.
Singgah pula menaiki boat kayuh. Tasiknya tidak begitu besar. Sekali giliran hanya 10-15 minit. Kemudian kami terus ke Air Terjun Jeriau, 4km dari pusat pekan. Jalan menurun, perlu sentiasa membunyikan hon setiap selekoh.  Airnya amat dingin- gabungan cuaca perbukitan, pokok hijau menyelimuti, batu batu sejuk dan sedikit hujan gerimis.



Dalam 10 minit mandi, menggigil, bibir sudah jadi biru-kesejukan.  Kawasan mandi agak luas dan pengunjung tidak sesak. Ada yang mendirikan khemah. Kemudahan bilik salin pakaian dan tandas juga bersih.
Sebelum pulang, singgah makan di dataran awam. Banyak pilihan makanan timur dan barat. Tidak lupa membeli sedikit cenderamata.  Sempat mengejar jam 2.30pm sebelum gate ditutup untuk laluan naik.
Suatu percutian sehari yang murah dan amat memuaskan.  



No comments:

Post a Comment