Sementara menanti waktu berbuka puasa, berehat di luar rumah. Melihat pokok-pokok kecil yang melilit di pagar dan menjulur di tanah. Bukan semak. Sengaja ditanam. Ah...! manusia memang suka bertanam-tanaman. Naluri.
Teringat aku suatu cerita dalam sebuah ceramah agama. Ada suatu ketika di syurga, malaikat penjaga syurga melihat seorang penghuni syurga sedang tertunduk-tunduk berbuat sesuatu. Lalu ditegur oleh malikat; ”Hei manusia! Kamu sedang buat apa tu?” Lalu dijawab oleh manusia ” aku sedang menanam biji benih”. Malaikat lalu menyindir manusia itu ” Di sini bukan tempat bercucuk tanam! Itu di dunia dulu. Di sini hanya tempat menuai hasil!! Memang...sifat manusia suka bercucuk tanam...”
Apa yang seronok sangat menanam pokok di tepi rumah? Kalau nak kira kos, lagi murah beli sayur kat pasar. Dari biji benih, tanah hitam, baja, air siraman, atau kadang-kadang racun serangga. Belum lagi gangguan lain seperti dipetik oleh orang, pokok mati dek ditinggalkan lama sebab balik kampung atau bercuti. Lebih mahal.
Bertanam atau berkebun biarpun pada skala yang amat kecil adalah suatu bentuk terapi minda. Rasa teruja melihat tanaman itu tumbuh membesar, subur dan hijau. Apatah lagi bila ia sudah cukup masa dipetik hasilnya. Kepuasan yang dirasa berpanjangan. Walau kadang-kadang tu, kacang panjang yang dapat dipetik hanyalah 5 urat sahaja....
No comments:
Post a Comment