Apakah maksud sabar itu?
Kerap terdengar kata-kata "sabar itu ada hadnya". Maksudnya apabila sampai masanya kesabaran itu sudah tidak dapat ditanggung lagi, maka bolehlah buat apa sahaja. Marah, sumpah, dan dendam barangkali akan di halalkan.
Nanti! Benarkah demikian?
Jika sabar itu ada hadnya, setakat manakah hadnya? Jika ia bertempoh, berapa lamakah masanya? Jika sabar itu terhad kepada ruang, di manakah tempatnya perlu kesabaran dan di mana pula ia tidak diperlukan?
Tatkala memandu kereta di jalan yang berselekoh, kita mudah sahaja teringin memotong kenderaan di hadapan yang sangat perlahan pergerakannya. Namun, kerap juga suara hati berbisik agar jangan memotong. Tunggu sahaja sebentar apabila jalan lurus. Sehingga situasi jelas, baru memotong. Benar. Kerapkali sehabis sahaja selekoh, jalan adalah lurus, jika yakin, maka memotonglah. Pada tahap ini, definisi sabar itu mungkin bermaksud "menambah jangkamasa menunggu kepada sedikit waktu lagi."
Sama halnya jika membuka pintu dengan menggunakan banyak anak kunci. Kerapkali anak kunci yag terakhir itulah yang akan membuka kunci.
Terbaca pula kisah seorang aulia. Beliau dijemput ke sebuah jamuan makan di sebuah rumah. Namun apabila beliau sampai di rumah tersebut, tuan rumah mengatakan bahawa jamuan sudahpun habis. Maka dia pun pulang. Esoknya dia dijemput lagi. Apabila dia sampai, jamuan sudah habis. Hal ini berlaku berkali-kali. Aulia ini masih juga sanggup datang dan tidak pula marah kepada tuan rumah.
Lalu tuan rumah pun bertanya kepada aulia itu. " Aku lihat kamu tetap juga datang walaupun sebenarnya tiada jamuan yang tersedia untukmu. Dan kamu tidak pula marah kepadaku. Apakah yang menyebabkan kamu mampu berbuat begini?"
Lalu dijawab oleh aulia itu. "Hal ini kecil sahaja. Apa yang aku lakukan ini, anjing juga mampu melakukannya.."
Maka, sewaktu sedang menanggung kesabaran, janganlah kita merungut-rungut. Bersabarlah dengan seikhlasnya. Sesungguhnya sabar itu ialah bersabar di atas kesabaran yang sedang disabari itu.
Dan sabar itu nampaknya tiada ditentukan hadnya...
Sabar itu ada pada jalan yang lurus. Ketika berada di titik membelok, fikirlah dulu, kerana di selekoh itu kesabaran mungkin menemui ajalnya...
Wallahua'lam.
12 January 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment