Dunia selalu tidak bertindak seperti apa yang kita mahukan.!! Kerana jika bila kita mahukan sesuatu, malah telintas sahaja di hati keinginan itu, lantas ia datang, ternyata itu bukannya di dunia. Itu di syurga!!
Sudah pernah saya bertemu manusia kikir. Malah selalu. Kali ini saya ingin berkongsi sifat-sifat manusia kedekut, bakhil, tangkai jering atau apa sahaja yang sesuai dengannya. Penulisan ini bukan bertujuan mengumpat mana-mana individu. Nawaitu saya ingin memperkaya pengalaman sesama kita tentang sifat-sifat manusia yang sangat rencam. Agar kita lebih kenal siapa kawan atau lawan. Dalam Islam sendiri ada dikhabarkan ciri-ciri orang munafik iaitu ada 3 ciri.
Mengapa kita perlu bersifat kedekut yang keterlaluan? Saya fokuskan di sini tentang sikap sebahagian manusia yang tidak mahu mengeluarkan duit sedikit pun dalam soal membayar makan. Situasinya bila kita keluar makan bersama-sama di kedai makan, kafe, kantin atau di mana sahaja tempat makan berbayar. Terdapat orang yang tidak pernah mahu membayar untuk orang lain, kecuali untuk dirinya sahaja.
Adalah difahami jika kita adalah murid sekolah, pelajar IPT atau yang belum ada gaji. ‘Go Dutch” atau tepuk amai-amai belalang kupu-kupu makan ramai-ramai bayar suku-suku” dapatlah diterima. Kalau sudah bekerja, gaji pun ada, sampai bila nak minta orang belanja saja.
Ciri-ciri orang kedekut nak belanja orang lain:
1. Sering makan di kantin sendirian. Tidak kisah jika tiada teman berbual.
2. Ambil makanan terus bayar supaya selamat dari membayar untuk orang lain. Kadang-kadang tauke suruh kita makan dulu baru bayar. Bagi si kedekut, cara ini mengundang risiko dia kena membayar untuk orang lain nanti.
3. Jika tak sempat bayar, makan cepat-cepat,segera minta diri dari rakan-rakan dan pergi bayar dahulu makanan sendiri tadi. Katalah ada hal atau nak pergi tandas.
4. Dalam keadaan sama-sama mengambil makanan, dan nanti mungkin duduk semeja bersama kawan-kawan, maka dia akan pilih makanan yang paling murah. Misalnya makan sepotong buah jambu sahaja, bagitahu kawan “sudah kenyang”. Sedangkan kawan-kawan makan nasi dan lauk pauk. Mesti kawan-kawan tak akan suruh dia bayar. Mereka tak sampai hati.
5. Dalam keadaan tak dapat ‘lari’ ketika makan bersama kawan-kawan, taktik lain akan dicari. Buat-buat balas SMS ketika tauke sedang mengira di meja makan. Atau bunyikan ringtone telefon bimbit dan bercakaplah sendirian seolah-olah sedang berbual dengan seseorang di telefon. Lebih baik lagi bila nampak tauke datang, bunyikan telefon segera dan pura-puralah bercakap jauh sedikit dari rakan-rakan. Takut orang dengar hal peribadi. Bila nampak kawan dah tolong bayarkan, bolehlah datang semula ke meja makan.
6. Dalam situasi di atas, boleh juga dicuba cara diamkan diri sahaja. Akan ada nanti kawan yang pemurah dan selalu jadi mangsa membayarkan. Ooh ya, makan dengan orang yang diketahui suka membayar juga merupakan satu tips untuk selamatkan wang sendiri!
7. Kadang-kadang ada lebih daripada seorang yang berebut nak membayar. Dalam situasi ini, si kedekut bolehlah berpura-pura mengeluarkan dompet dari poket belakang seluarnya. Tapi entah kenapa dompet itu macam terlekat pula; Mungkin tebal lalu tersangkut dan sukar ditarik. Dicuba juga ditarik-tarik namun hampir separuh sahaja keluar. Sedang mencuba-cuba itu, sudah ada kawan yang membayar. Alhamdulillah.... Dompet pun ditekan semula ke dalam poket. Sambil berkata.. ”laaa...., cepat sangat awak nak membayar, patutnya saya yang membayar kali ini..’
8. Situasi di atas boleh diubahsuai lagi. Kali ini dompet telah terkeluar. Dijenguk-jenguk, tak ada pula duit kecil. Semua RM100 dan RM50. Jangan tunjukkan sangat kepada orang sebelah, nanti dia nampak duit kecil sebenarnya ada. Kalau makan di kedai-kedai makan yang bersaiz kecil atau sederhana, tauke akan katakan tak ada wang tukar. Jangan bimbang, ada kawan yang akan tolong bayar dengan wang kecil nanti. Sekali lagi selamat.
9. Yang lebih ekstrim lagi (jangan tak percaya, Ini benar-benar berlaku!), jika dia makan di meja lain, belum bayar, makan pun dah tinggal separuh, maka dia akan pindah ke meja kita dengan pinggan dan gelas minumannya sekali. Lagaknya macam nak bersembang dengan kita. Tambahan pula dia nampak kita dah nak hampir ke fasa membayar. Dia pun tumpang semangkuk sambil mempraktikkan mana-mana taktik yang disebutkan tadi.
Peringatan kepada diri ini dan yang lain, janganlah amalkan sikap kedekut melampau. Terutama dalam soal asyik mengharapkan orang membayar. Tak pernah nak tolong bayar. Tumpang makan mahu. Dalam soal berkawan dan bersosial, hal ini diperhatikan oleh kawan-kawan. Lagipun makanan yang kita makan akan menjadi darah daging, membina tubuh, hati, minda, jiwa seterusnya menjelmakan tabiat. Jadi biar dia berkat. Tidak hairanlah si kedekut ini sering ditinggalkan sendirian di tempat duduknya bila tiba waktu minum atau makan. Kadang-kadang kawan-kawan akan keluar secara senyap-senyap sahaja.
Adakah si kedekut akan dapat membeli kereta baru, rumah baru atau melancong dengan sikapnya yang enggan membayar atau membelanja orang lain itu? Mungkin juga, jika sikapnya itu dapat diamalkan dalam tempoh yang lama.
Jika kita bersedekah dengan ikhlas, Allah akan membalas dengan yang lebih baik lagi. Rezeki dan harta akan berganda. Sedekah juga menjadi bekal amalan untuk kita di alam barzah. Bukan bermaksud bila kita mengeluarkan wang untuk belanja rakan makan, itu membazir. Kita pun tahu giliran kita. Jangan biarkan rakan pemurah menjadi perumah (mangsa). Kita sama-sama ada gaji. Sesetengahnya pula sudah mencecah 5 ribu ditambah elaun lagi hampir 7 ribu. Itu tak kira bisnes sampingan lagi. Nak kedekut apa lagi?
Ya Allah jauhkanlah kami dari sifat riya’ dan sifat kedekut. Amiinnn...
mcmn pula dengan bakal menantu yang rasanya ada ciri2 kedekut?contonhnya, tunangnya yang mash belajar mengadu bahawa dia hanya makan maggi sahaja untuk makan malam nanti.Si lelaki walaupun belum bekerja tapi rasanya mempunyai sumber kewangan yang kukuh hanya berkata," oklah tu,mkn maggi,asal ada"..
ReplyDeleteharuskah diteruskan dengan lelaki yang begitu.Bimbang pula bila dah kahwin anak perempuan saya terkongkong dari segi kewangan.Mohon pendapat..terima kasih
saya pernah dengar ceramah agama dari seorang ustaz. Kalau nak cari menantu lekai pertama sekali ialah agamanya. Check solatnya, puasa, boleh mengaji Al Quran (basic). kedua pastikan ringan tulang (tidak malas) dan tidak kedekut. Kalau kedekut dan malas walaupun soal agama kuat pun elakkan. sebab suami bertanggung jawab menanggung anak isteri. Elok nasihatkan anak secara baik dengan memberikan contoh teladan, supaya tidak menyesal di kemudian hari.
ReplyDeleteSAYA SUKE.........MEMANG NI YG SELALU SAYA ALAMI.......NAK COPY BOLEH?HEHEHEHEH
ReplyDeletependapat saya, kalau orang itu mendalami ilmu dan amalan agamanya, maka sifat kedekut dengan sendirinya terhakis. Namun bukan sampai dia jadi boros. Pendek kata apa yang dia buat dia akan niatkan sebagai ibadah. Berkaitan hal kahwin, rezeki akan ada dengan berkahwin, insyaAllah.. si suami yg bertangung jawab akan berusaha menanggung anak isterinya ikut tahap kemampuannya...
ReplyDeleteFAZLI MOHD BAZIN.
Saya sukakan post ni. Macam saya banyak hutang tertunggak. Kalau rehat pun lebih suka duduk pejabat dari keluar makan sebab duit keluar. Tapi kawan pejabat tiada teman untuk makan. Kasihan juga, jadi saya keluar makan bersama tapi minum air saja konon diet. Bukan kedekut tapi terpaksa untuk bayar hutang.
ReplyDeleteKonsep belanja kawan nie kira konsep sedekah ke? Yg wajib sedekah family. Ade lebihan sikit tuk org selain family. Tapi yelah masuk bab berkawan nie jadi awkward bila jumpe kawan nak sudi belanja. Ikhlas belanja x pe, tapi mesti org tu nak rasa dibelanja oleh org lain. Belanja kawan nie elok sekali sekala. Bukan hari2x. Perangai wat2x di minta belanja tu teruk gak la
ReplyDeleteArtikel ini adalah sangat tulus. Every bit of it is true on sifat orang kedeKut. Orang kedeKut ni comes along with tamak. They take as muxh as they can, but pay as little as they can. Klu boleh tak perlu pay at all.
ReplyDeleteBagi suami2 especially, please do not have sikap kedekut. It will ruin your marriage. Sikit2 lama2 jadi bukit (hati isteri simpan kesedihan).
Kalau sedekah rm1 sehari tiap2 hari, lebih elok dari sedekah rm30 satu kali sahaja. Yang penting ialah inculcate/tanamkan sifat memberi. Bukan sifat mengambil.