05 June 2011

MENGHORMATI KEHORMATAN



Seorang rakan lama  telah mengeluh. Beliau seakan telah kehilangan dirinya sendiri. Baginya  zaman cepat benar  berubah. Baru sahaja  dulunya beliau  adalah seorang guru. Kini beliau bertugas sebagai pensyarah di sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG). 

Keluhannya adalah beliau merasakan dan mempercayai  bahawa pelajar tidak menghormatinya sebagai seorang pensyarah.  Baginya, murid sekolah lebih baik. Saya bertanya mengapa beliau merasakan demikian?  Jawabnya, pelajar di IPG tidak mesra, egoistic dan kadang kala kurang ajar. 

Saya bertanya lagi adakah sebarang bukti? Beliau memberikan indicator seperti  pelajar  tidak  memberi  salam, tidak senyum, tidak menegur sapa. Di dalam kuliah pula, pelajar sibuk dengan laptop ketika kuliah dijalankan.  Beliau rasa seperti tidak dipedulikan.  Kehadirannya di bilik kuliah ibarat batang kayu tegak berdiri.  

Baru-baru ini ketika 16 Mei, tiada seorang pelajar pun yang mengirim SMS atau ucapan di facebooknya  berkaitan Selamat Hari Guru.  Saya terfikir, barangkali pelajar-pelajarnya itu merasakan bahawa mereka juga guru.  Mereka juga harus diberikan ucap selamat hari guru oleh orang lain. Wallahua’lam. 

Saya bukan pakar motivasi atau pakar rujuk atau konsultan.  Pertama sekali saya mencadangkan beliau supaya tidak terlalu mengharapkan penghormatan yang tinggi daripada orang lain. Ubah cara kita berikir di samping ubah cara kita bekerja.  Jika terlalu harapkan orang hormat kita, sedangkan kita gagal mendapatkannya, maka kita akan kecewa.  Oleh itu jangan letakkan  pengharapan terlalu tinggi.  

Sejauh mana kita perlukan penghormatan orang lain? (Menurut Hirarki Maslow, Self Esteem terletak pada paras 4, termasuk rasa hormat daripada orang lain). Alangkah teruknya hidup ini tanpa rasa hormat orang lain. Tanpa rasa dihargai. Bagi sesetengah orang , maruah atau kehormatan diri yang tidak dihargai boleh menyebabkan mereka membunuh diri.  




Bilakah kali terakhir kita dihargai? Baru sebentar tadi orang memuji kita? Atau 3 bulan yang lalu? Atau... ah! Tidak pernah? Puji-pujian adalah kata-kata yang paling merdu di dunia ini. Ia adalah makanan  jiwa.  Oleh itu diri yang tidak pernah atau amat jarang dipuji dan dihargai, jiwanya kurus, merana, menderita. Jiwanya sakit.
Ada orang yang berusaha keras membuat segala bagai semata-mata untuk mendapatkan pujian. Baginya hari itu hari cemerlang jika ada yang memujinya.  Dia akan pulang ke rumah dengan puas. 

Berbalik  kisah rakan tadi.  Saya juga mencadangkan beliau supaya jangan melayan sangat perasaannya itu. Sibukkan diri dengan kerja. Setiap orang banyak kerja. Pensyarah seperti beliau pasti banyak kerja. Pelajar juga banyak tugasan. Pelajar-pelajarnya mungkin tak punya banyak masa. Mereka sibuk dengan kuliah, kokurikulum, tugasan, projek luar dan dalam, majlis itu ini, persembahan dan pelbagai lagi. Mereka tak punya masa pun untuk menoleh kepada pensyarah  yang berselisih jalan di kaki lima.  Kadang-kadang mereka duduk di meja pensyarah di kafe. Mungkin mereka nak cepat atau tak perasan kerana terlalu sibuk berfikir. Terpaksalah pensyarah makan di luar kafe. Itu tak jadi hal.

Saya suka juga mengharapkan rakan tadi agar mengamalkan introspeksi diri, iaitu membuat refleksi kendiri secara mendalam.  Jika kita ingin disayangi, hendaklah kita menyayangi. Jika kita ingin dihormati, hendaklah kita menghormati.  Sejauh mana  kita menghormati orang lain? Apa yang penting kita hormati orang lain terlebih dahulu. Andai orang tidak hormati kita, bukanlah kuasa kita untuk mengubah mereka. Lagipun pelajar-pelajar di IPG sudah besar dan dewasa.  Mereka bakal guru. Tahulah mereka jika mereka tidak hormat orang lain,  murid mereka nanti tidak hormat pula pada mereka. Itu hukum karma.   Kedewasaan pelajar ini menjustifikasikan bahawa mereka bersikap begitu begini kerana itu tabiat mereka. Tabiat terbina bukan hasil dari tingkah laku semalam dua. Ia kombinasi masa, ruang, asuhan, tanggapan dan pengalaman yang lama. 

Akhir sekali saya tertarik dengan ucapan seorang pensyarah dari UITM yang membandingkan pelajar IPG dengan pelajar UITM semasa beliau melawat sebuah IPG . Katanya pelajar IPG sangat cool, bersopan santun, berkarisma,  berpakaian sopan dan memberi  salam kepada beliau.  Nadanya yang kagum itu tidak menghairankan. IPG adalah pusat latihan bakal guru. Ia pusat pembentuk  modal insan pendidik. Itu baru sahaja beliau bandingkan dengan UITM, belum lagi IPTS yang lain!

Akhir kata, berilah hormat itu, jangan dicari, kerana ia akan datang sendiri.

No comments:

Post a Comment