Ermmmm... Setelah 18 hari balik ke Malaysia, baru ada kesempatan menulis kembali. Sibuklah konon...
Berikut sedikit catatan perjalanan.
Pada 12 hingga 16 Jun 2011 yang lalu berada di Guangzhou dan Shenzen, China. 15 orang ahli rombongan diketuai en. Hairi Yahya. . Setelah 4 jam penerbangan tiba di lapanganterbang Guangzhou pukul 1.00 pagi. Disambut oleh Ameng, pemandu pelancong berbangsa Cina yang petah berbahasa Indonesia. Telah jadi pemandu pelancong selama 8 tahun, namun tidak pernah ke Indonesia. Kami menginap di Hotel Euro Asia.
Hari 1.
Sarapan pagi di hotel. Hanya berani minum teh o dan makan roti kosong. Menu yang lain menimbulkan kesangsian. Ada juga keledek rebus dan jagung rebus.Rakan memberitahu jika makan keledek atau jagung itu, periuk yang digunakan belum terjamin halal toyyibannya. Namun kami sudahpun makan mee segera di bilik.
Seterusnya melawat Taman Yuexiu, Five Rams Statue. Tidaklah menarik sangat. Sekadar melihat patung kambing. Macam biasa bergambar dan beli sedikit cenderamata. Jurujual boleh cakap Melayu stail Malaysia dengan agak baik seperti: “harga sudah murah bang”, “beli untuk orang di rumah”.
Seterusnya ke pusat ubat-ubatan tradisional China. Lebih kepada sebuah farmasi. Milik kerajaan. Lawatan ke tempat ini adalah wajib bagi semua pakej pelancongan ke Guangzhou. Suka tak suka, kita terpaksa melawat juga. Adalah seorang professor (entah ya entah tidak) yang buat demo pegang rantai besi yang panas membara. Kemudian tapak tangannya itu disapu krim. Tiada kesan melecur. Hampir sahaja kami semua dipaksa membeli pebagai jenis ubat di situ. Bila saya bertanya rakan-rakan yang pernah ke Guangzhou, ceritanya sama. Kata mereka professor tersebut kononnya sangat sibuk mengajar di Beijing. Namun hari ini dia sempat meluangkan masa semata-mata untuk pelancong Malaysia. Kami pun kena kencing dengan cerita yang sama oleh prof tersebut. Nak jadi cerita lagi, datang pula 2 orang professor lain untuk memberi konsultasi kepada kami. Macam kebetulan kononnya.
Seterunya ke museum peringatan Sun Yat Sen. Malangnya tutup pada hari Isnin. Pemandu pelancong kami tak peka. Sepatutnya lawatan ke sini tidak diletakkan pada hari Isnin. Solat Zohor di Masjid Saad bin Abi Waqas, dam menziarah makamnya. Beliau adalah sahabat Nabi SAW yang telah berhijrah ke China sebelum Hijrah Nabi ke Madinah. Beliau juga adalah bapa saudara NAbi SAW. Cuma apabila dalam keadaan kita berhadapan dengan makam Sahabat NAbi begini, tiada panduan khusus atau adab-adab yang tertera di sekitar makam tersebut. Bagaimana atau apa yang seharusnya dilakukan. Saya sempat bertanya hal ini dengan seorang Bangladesh yang berehat di tepi telaga Sahabat ini. Namanya Sultan. Sultan memberitahu kita hanya perlu membaca salawat dan alfatihah. Beliau seorang musafir yang nampaknya akan tinggal agak lama di masjid ini. Di masjid ini kami berjumpa dengan etnik Umrumchi yang beragama Islam. Mereka hanya memakai seluar sekadar takat lutut sahaja untuk solat. Kebanyakan mereka menjadi buruh di Guangzhou.
Makan tengahari di restoran Muslim. Menu nasi putih, ikan masam manis, sup sayur, udang goreng, ayam goreng. Teh panas sebagai pembakar kalori. Teringat ketika melawat Bandung, Indonesia, sememangnya teh kosong dihidangkan bersama makan tengahari dan malam. Barangkali inilah sebabnya wanita Bandung dan penduduk Guangzhou, juga Shenzen , tiada yang obes. Aspek ini amat kontra jika di Malaysia.
Sebelah petang membeli belah di Jalan Shangxiajiu. Pelbagai barangan murah didapati. Untuk mengira nilai barang berbanding RM adalah mudah. Bahagikan dua sahaja. Misalnya ¥40.00 (40 Yuan) jadi RM20.00. Harga yang dipamerkan memang agak tinggi. Namun boleh ditawar sehingga 75%. Dan biasanya pelanggan akan dapat harga tersebut. Ramai juga jurujual yang tahu sedikit-sedikit bercakap Melayu. Terutama untuk menyebut angka atau harga. Jika tak tahu, mereka akan menekan kalkulator dan menujukkan harga yang ditawarkan. Pelancong akan menekan pula kalkulator untuk memberitahu harga yang dikehendaki. Begitulah komunikasinya.
Saya menjangkakan 5 tahun lagi kesemua peniaga di sini akan fasih berbahasa Melayu menggunakan laras bahasa penjual dan pembeli. Dan mereka akan berbahasa Melayu ala Malaysia. Saya bertanya kepada seorang gadis penjual kain ela, bagaimana beliau dapat bercakap Melayu dengan baik? Katanya ramai pelancong dari Malaysia yang datang ke kedainya. Dari situ dia belajar sedikit demi sedikit. Apa yang menkagumkan saya, bahasa Melayu mereka langsung tak pelat.
Selepas makan malam, kami sambung ‘shopping’ di jalan yang saya pun dah lupa namanya. Gambarannya mungkin seperti Petaling Street. Namun lebih bersih, teratur, bersopan dan professional. Jika kita teringat barangan di pasar malam di Malaysia,atau di kedai Rm2.00, maka di sini barangan tersebut harganya adalah 1/3 atau ¼ dari harga di Malaysia. Sebab itu ramai pemborong Malaysia datang ke Guangzhou mendapatkan stok mereka seperti barangan kulit, jam tangan, beg tangan, t-shirt, barangan berlampu (selalu ada di pasar malam) dan segala bagai.
Kami balik ke hotel hampir pukul 1.00 pagi. Penat membeli belah tak terasa.... Cuma teringat gadis-gadis jurujual yang majoritinya memakai seluar sangat pendek, menayangkan peha yang putih melepak.....
Info: Guangzhou bandaraya ke-3 terbesar di China selepas Beijing dan Shanghai. Penduduknya sekitar 18 juta. 70% berbahasa Kung Fu. Sama seperti Shenzen, bandarayanya dipenuhi bangunan tinggi yang merupakan apartmen. Rata-rata bangunan antara 5 tingkat ke atas hingga 50 tingkat. Hampir semuanya rumah kediaman. Tanah adalah milik kerajaan. Penduduk terlalu ramai, jadi gunakan ruang secara vertical bukan horizontal. Berbanding di Padang, Sumatera Barat, bangunan yang paling tinggi dibenarkan adalah setinggi 5 tingkat sahaja. Ini kerana mengelakkan kemusnahan besar jika berlaku gempa bumi.
Laluan bas pelancong adalah menggunaka highway di tengah bandar. Highway ini berlapis hingga 3 lapis. Oleh itu tidak timbul soal “jam” seperti di Jakarta.
No comments:
Post a Comment