Hari 2:
Selepas sarapan pagi di hotel (makan mee cawan yang dibawa dari Malaysia), kami gerak ke Shenzen. Sebuah bandaraya yang dilahirkan sejak 2000. Dong Zio Pheng memulakan dasar buka pintu kepada perdagangan luar menjadikan Shenzen yang dulunya hutan belukar kini sebagai bandaraya yang amat pesat maju. Kelihatan gambar Dong Zio Pheng terpampang di tengah bandaraya. Ramai pelabur dari Singapura dan Malaysia di Shenzen. Pelabur dari luar tidak dikenakan cukai selama 5 tahun pertama. Misalnya konsultan lanskap Shenzen antaranya adalah orang Singapura.
Perjalanan dari Ghuangzao ke Shenzen memakan masa hampir 3 jam. Walaupun perkhidmatan keretapi Guangzhou- Shenzen ada setiap 15 minit dengan jangkamasa perjaanan 40 minit sahaja, namun pakej kami menaiki bas. Lagipun tiket keretapi agak mahal, kira-kira RM40.00.
Shenzen dikenali sebagai kota laici. Pokok laici banyak di tanam di tepi- tepi jalan. Shenzen juga dikenali sebagai kota orang muda. Sebagai bandar baru, para belia menguasai kehidupan di sini. Selain tiada kelihatan motosikal (Golongan pekerja hampir semua menggunakan pengangkutan awam), tiada kelihatan orang tua di sini. Nisbah perempuan dengan lelaki di Shenzen adalah 7:1. Salah satu sebab lagi kenapa tiada orang gemuk di sini ialah di sana sini kelihatan pejalan kaki.
Seperkara yang menarik perhatian ialah ramainya orang berjalan kaki di kaki lima yang diteduhi pokok-pokok menghijau. Bahkan gadis-gadis yang memakai seluar pendek kelihatan berani berjalan seorang di bawah kegelapan lorong ini pada waktu malam. Saya berani katakan bahawa saya lebih takut berjalan sendiri di Kuala Lumpur,Pulau Pinang, Johor Bharu, Shah Alam atau Kelang berbanding di Shenzen.
Bandaraya ini dilihat bersih dari tingkap kenderaan pelancong. Tiada kedai-kedai makan kelihatan. Bayangkan kedai-kedai makan di Malaysia yang kerusi mejanya terjulur sampai ke jalanraya. Kurang bersih dan mengganggu lalu lintas.
Shenzen bersempadan dengan Hong Kong (jalanraya yang kami lalui hanya 100 meter sahaja dari wilayah Hong Kong). Untuk ke HK, visa dan matawang Dolar HK diperlukan.Sepanjang jalan dari Guangzhao ke Shenzen, kiri kanan jalan dipenuhi pembangunan,samada kilang, penempatan, perladangan, pelabuhan sungai atau bangunan. Guna tanah pada tahap maksimum. Jika di Malaysia, mudah sahaja melihat tanah terbiar.
Sampai di Shenzen, terus ke Pasar Luoho (sama seperti Mangga Dua di Jakarta) . Barangan digital amat banyak di sini. IPad semurah RM200.00. IPhone, Nokia N8 dan lain-lain gajet memang banyak lagi murah. Namun kurang pasti pula kualiti dan perisiannya.
Malamnya shopping lagi di Jalan Beijing. Jenama pakaian sukan 361° sedang popular di sini. Saya membeli sehelai seluar berbasikal dengan harga ¥105.00. Menarik di sini terdapat kesan lapisan batu-batu yang menjadi jalanraya sejak dinasti Sung (500 tahun lalu) pada kedalaman 1-2 meter. Diikuti lapisan batu-batu oleh dinasti yang berikutnya. Setiap dinasti memperlihat struktur batu yang berlainan. Mengkagumkan. Sememangnya China mempunyai tamadun yang sangat lama. Tidak dapat dibandingkan dengan tanahair kita yang tercinta. Namun baiklah hujan batu di negeri sendiri.
Kami juga singgah di pasar wholesale One link. Di sini banyak barangan cenderamata. Beberapa patah perkataan cina yang saya tahu dapat membantu saya dalam urusan jual beli. Misalnya ada seorang penjual hampir memarahi rakan kami kerana sangkanya rakan kami itu mahukan bateri percuma apabila membeli alat urut berbateri. Setelah saya menerangkan bahawa bateri itu diperlukan haya untuk menguji alat itu sahaja barulah dia faham. Alangkah baiknya jika kita dapat bercakap dalam bahasa cina ini dengan lebih lancar dan banyak lagi kosa kata yang dikuasai. Tak rugi belajar banyak bahasa. Saya sudah sentuh hal ini dalam entri yang lalu. Dalam konteks Malaysia, orang bukan Cina patut tahu bercakap bahasa Cina. Bukan untuk menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa utama, tapi lebih ke arah mengurangkan prejudis perkauman.
Esoknya kami ke kedai sutera. Sutera China memang terkenal dengan kehalusannya. Harganya boleh tahan mahal. Tiada seorang pun kami yang mampu membelinya. Begitu juga baju sutera lelaki. Memang cantik. Namun lelaki Muslim tidak memakai baju sutera. Seterusnya ke kedai teh. Teh adalah lambang klasik China. Perdagangan teh dan candu membuka hubungan China dengan eropah sejak berabad yang lalu. Macam biasa harganya agak mahal. Setelah kami semua enggan membeli, gadis penjualnya mengekori kami sampai ke pintu bas. Akhirnya adalah antara kami yang mudah sangat simpati. Saya tidak membeli teh ini, kerana teh yang saya beli di Cameron Hoghland masih banyak di rumah.
Seterusnya ke pusat jed dan batu permata. Di sini kami kena tipu lagi. Mulanya kami dihadiahkan dengan dua batu jed setiap seorang. Setelah diterangkan kelebihan memakai jed, tauke jed pun menceritakan bahawa isterinya orang Malaysia. Baru-baru ini dia mendapat anak lelaki. Dia sangat gembira. Dia mahu menjual mana-mana set batu permata serendah ¥6000.00 sehingga ¥20,000.00 (20 ribu yuan!) kepada setap kami. Kami hanya perlu bayar dengan harga RM300.00 hingga RM400.00 sahaja sebagai ang pau kepada anaknya.. Hampir semua kami membeli set permata dan jed ini. Kami dimaklumkan oleh lain-lain kumpulan pelancong, ceritanya sama sahaja. Tak pasti pula anaknya itu dah berapa tahun usianya. Takut-takut 5 tahun yang lalu, sama sahaja ceritanya. Pertanyaan, sejak bila orang Melayu minat dengan jed?
Petang kami ke Splendid China. Di sini ditempatkan lot-lot untuk 56 etnik Cina di samping panorama tiruan bagi tempat-tempat menarik di China. Menyaksikan pertunjukan kuda oleh etnik Monggolia, mengingatkan kepada bagaimana brutalnya etnik ini. Dengan keberanian dan kepakaran berkudalah mereka menumbangkan kerajaan di India dan Abbasiyah. Satu jam berikutnya menyaksikan pertunjukan kebudayaan berupa tarian etnik. Kesan visual pencahayaannya sangat mengkagumkan. Set pentas , prop, kostum, gerak tari , system bunyi dan semua elemen persembahannya betul-betul melopongkan mulut. Bagai menyaksikan sebuah fantasi cinta sang puteri bulan. Sebagai kenangan saya membeli DVD persembahan tersebut untuk tontonan di rumah.
Mengikut pakej, kami sepatutnya akan menyaksikan satu lagi persembahan kebudayaan pada sebelah malamnya. Namun semua kami tidak mahu menonton. Kami mahu shopping. Yuan masih banyak untuk dihabiskan. Ameng terkejut dengan sikap kami. Katanya dia belum pernah bertemu kumpulan pelancong yang gila shopping seperti kami. Bagaimanapun dia mengikut sahaja. Sekli lagi kami ke Luoho Commercial Hall. Sehingga larut malam baru balik ke hotel. Di LCH ramai peniaga pandai bercakap Melayu. Barangan murah dan boleh ditawar harga gila-gila. Pelbagai barangan dibeli sehingga beg terpaksa ditambah.
Hari terakhir, pukul 10.00 pagi di Shenzen sempat melawat Windows of the World. Di sini dibuat pelbagai replica tempat-tempat bersejarah dan menarik di dunia. Misalnya Menara Eiffel, Air terjun Niagara, Piramid, Menara Pisa dan banyak lagi. Malangnya tempat menarik bagi Malaysia dibuatnya Genting Highland di sini. Lambang pusat perjudian.
Setelah penat bergambar dan membeli cenderamata terakhir, kami bertolak balik ke Guangzhou. Tepat 9.30 malam kami terbang kembali ke tanahair tercinta, Malaysia.
No comments:
Post a Comment