21 April 2013

TIKET PERCUMA KE SYURGA

Hari ini aku balik kampung. Setelah  hampir dua bulan aku tidak ada masa menjengah kampung kelahiranku. Bukannya jauh sangatpun. Dalam dua jam perjalanan sahaja. Aku ini kononnya manusia sibuk. Kalah menteri lagi. Hinggakan balik kampung barangkali aku letakkan pada nombor 10 senarai keutamaan. 

Apa yang sangat mendesak aku balik kampung tiada lain hanyalah kerana emak. Emak yang sering aku ingatkan. Emak yang sentiasa aku rindukan.
Emak masih sihat walau kadang-kadang kelihatan uzur juga. 

Emak sangat gembira bila aku pulang. Aku  bersedia mendengar apa sahaja cerita yang emak luahkan. Aku akan berempati. Aku  minum teh o yang emak sediakan. Aku menonton TV bersama emak, walaupun rancangan kesukaan emak bukanlah rancangan kesukaanku. Aku  bermain dengan kucing-kucing peliharaan emak. Aku ikut emak membersihkan anak-anak terung dan cili di belakang dapur. AKu baiki juga pagar kebun emak.

--------------------
Emak masih sanggup bersusah payah menyediakan masakan kegemaranku. Terdengar emak menumbuk sambal dan menggoreng ikan di dapur. Waktu makan bersama emak dipenuhi dengan pelbagai cerita. Tidak sedar bertambah nasi. Memang dikatakan orang, masakan ibu sendiri juga yang sedap, walau ringkas sahaja masakannya. 

Waktu solat emak meminta aku menjadi imam. Aku berdoa kepada Allah agar aku dapat berbakti lebih banyak lagi terhadap emak. Selagi emak masih ada. Aku sedar inilah peluang  yang terbentang untuk aku meraih syurga di akhirat.
Semoga emak sentiasa sihat walafiat dan dapat melaksanakan amal ibadat dengan tenang dan khusuk.

Dalam perjalanan balik ke rumahku, aku singgah di kubur abah. Kuhadiahkan alfatihah, salawat dan al-Mulk. Juga doa buat adik-adikku, atuk, nenek dan semua ahli keluargaku yang telah kembali ke alam barzah.



2 comments:

  1. masih larat lagi mak encik berkebun..umur berapa dia encik? ada orang tua..lagi tak sihat jadinya kalau tak buat kerja.padahal kita risaukan dia tak larat...

    ReplyDelete
  2. phyca, bukannya kebun besar pun. hanya tanam beberapa pokok cili dan terung dalam polybag ajer...
    memang orang tua2 ni gitu...mesti nak buat kerja sikit2....

    ReplyDelete