05 September 2013

Singa pura pura



15 Feb 2013. Seminggu berikutnya saya ke Singapura lagi. Bersama Kareem dan Syahrul. 

 Sampai di Bukit Jalil pada pukul 10.30 malam. Bas akan bertolak pukul 12.00 tengah malam.  Kami semua adalah penyokong pasukan Pahang dalam kempen piala liga awal tahun ini. Rata-rata kami dalam bas ini tidak mengenali antara satu sama lain.  Yang mengikat kami adalah semangat yang sama  iaitu  menyokong Pasukan Tok Gajah dalam menentang Singapura malam nanti.  Yang pasti semuanya anak Pahang. Walau mereka bekerja di sekitar KL dan Selangor, dapat  juga menguruskan  perjalanan  ke Singapura  demi menyokong pasukan negeri.
  
Sampai di RnR Gelang Patah pukul 5.30am,  kami rehat, mandi, solat. Pukul 8 lebih sudah masuk ke Singapura. Seperti minggu lalu, kami berhenti di Mustafa. Sekadar membeli 3 helai tshirt. Itupun dah RM100.00 nilainya. Kami bertiga mencuba makan tengahari  di restoran sebelah Mustafa, AB Mohamed. Masakan mamak.  Nasi minyak Singapura. Acarnya dicampur buah delima. Ada kelainan. 


Sementara menunggu perlawanan malam nanti, kami merayau berjalan kaki. Terus ke Kitchener Road. Masuk ke Jalan Besar. Terus ke Syed Alwi Road. Tujuan kami ingin berehat atau tidur di masjid.  Termasuk pula ke Rochor Road. Terjumpa semacam pasar karat di situ.  Barang-barang lama dan antik banyak di jual di sini. Barang kulit, gajet lama, radio, alat elektrik... saya membeli beg galas jenama Deuter bernilai SGD15.00, dalam RM35.00 nilainya. Kareem membeli lampu suluh dan teropong. Syahrul mendapat beg videocam berharga SGD8.00


Kami berjalan lagi sampai ke Arab Street. Sampai di Masjid Sultan. Di sini boleh rehat dan mandi. Ramai pelancong singgah di masjid ini. Inilah satu-satunya masjid yang agak besar yang masih ada di Singapura. 



Selepas berehat, kami merayau lagi. Terjumpa restoran martabak Singapura. Kita  boleh pilih samada nak martabak 7 dollar, 15 dollar atau 30 dollar. Kami pilih yang paling murah. Itupun tak larat nak habiskan. Martabak di masak di hadapan kita di tepi meja.



Di sebelah masjid Sultan ini terdapat Malay Heritage Centre. Asalnya Istana kampung Gelam, peninggalan Sultan Johor terakhir sebelum Raffles merampas Singapura. Kami melilau sekitar. Terasa nostalgik bila terbayang  bagaimana Sultan dan keluarganya dihalau dari tanah Singapura ini akibat tipu helah Inggeris. 

 Berjalan kaki semula ke tempat menunggu bas di sebelah Masjid Aguila.Ada yang ambil kesempatan solat dan baring. Masjid ini juga bersejarah.

  Bas sudah menunggu.  Kami menukar baju kuning penyokong Pahang. Pukul 6.00 bergerak ke Stadium Jalan Besar. Ada 3 buah bas lagi penyokong Pahang sudah sampai. Kami telah ditahan oleh pasukan keselamatan sebaik sahaja turun dari bas. Bilangan kami dikira satu persatu. Badan kami di scan. Tangan kami dicap dengan dakwat.  Kami dilepaskan masuk seorang demi seorang dengan amat berhati-hati. Terasa seperti tahanan lokap pula. 


Sebaik memasuki stadium, sudah ada pasukan ULTRAS, pasukan sorak dengan gendang mengambil tempat. Mereka memakai baju hitam putih. Stadium Jalan Besar bersaiz kecil.  Padangnya pula berumput tiruan.  Stadium Nasional Singapura sedang dibaik pulih. Ini alasan Singapura agar pasukannya tidak tewas bermain di atas padang biasa. Di atas padang sintetik, bola bergerak laju. Pemain Pahang atau pasukan dari Malaysia tidak biasa. Akhirnya permainan dikuasai pasukan tuan rumah. 

Tempat duduk penyokong Pahang pula telah dihadkan di sudut tepi, bukan di tengah. Oleh itu perspektif adalah menyerong. Kami tidak dapat melihat permainan secara sama rata. Ini ditambah pula oleh pengawal keselamatan stadium (sebenarnya polis) yang mengawal kami dalam jarak yang sangat dekat. Kurang 1 meter dari kerusi kami. Sudahlah bilangan mereka sangat ramai. Seperti kami ini banduan yang sangat merbahaya bagi mereka. Sekejap-sekejap ada  di antara mereka yang berpura-pura bercakap di walkie-talkie... Betul-betul kami tidak rasa menonton bolasepak. Mereka melindungi penglihatan kami. 



 Akhirnya ada wakil kami memberitahu kepada ketua mereka tolong jangan menghalang. Kami datang jauh untuk menonton pasukan kami, bukan menontong punggung pengawal stadium ini. Setelah itu bilangan pengawal dikurangkan sedikit. Itupun setelah 30 minit perlawanan berlangsung. Namun masih ada seorang dua polis ini yang mundar-mandir ke hulu ke hilir di hadapan kami. Apabila kami bersorak ke arah pemain, polis --polis ini membeliakkan mata ke arah kami. Lucunya... Wahai polis Singapura, apa yang kamu buat ini tidak berlaku di Malaysia.!!!   Tahap prejudis polis Singapura terhadap orang Malaysia sangat ekstrim.

Pahang kalah 0-3. Selain faktor padang, sorakan pasukan penyokong yang tak kesampaian , mutu permainan Pahang boleh ditingkatkan lagi. Kami pulang dengan sedikit kecewa..

No comments:

Post a Comment