25 Okt. 2013
Hari kedua di Chiang Mai. Seawal 7.00 pagi, Mr. Ti telah
menunggu di lobi untuk membawa kami ke Chiang Rai. Tapi kami sempat bersarapan
dulu. Pilih makan vegetarian sahaja. Mee
goreng dan lauk pauk kami tak berani ambil. Roti putih, kentang goreng, kopi
dan teh sekadarnya.
Naik van Toyota Komuter. Muat 15 orang. Sampai di sebuah hotel lain, naik pula
sekeluarga France. Ke depan sedikit naik
lagi seorang lelaki Japanese-American. Jadi kami 11 orang. Chiang bermaksud kota. Mai bermaksud baru. Jadi Kota Bharu
tu sebutannya ialah Chiang Mai...haha.. Ada 150 temple di Chiang Rai. Rai
bermaksud kawasan pemerintahan Raja Rai.
Chiang Rai 170km dari Chiang Mai. Menghala ke utara. Perjalanan 3 jam.
Jalanraya cantik namun agak berbelok-belok.
Thailand memang punya jalanraya yang baik. Pengalaman saya berkayuh basikal waktu malam
dari Bukit Kayu Hitam ke Haatyai membuktikannya..
Berhenti di Hot Spring. Di sini ada kolam air panas. Kami
sempat merendam kaki selama 20 minit. Memang panas. Merah tapak kaki.. tapi rasa
segar.. Ada juga sebuah gizar yang memancutkan air panas dari dalam tanah. Gerai-gerai cenderamata juga banyak. Boleh lah nak beli magnet peti
sejuk kat sini. Barangan kemas dari perak juga banyak. Bagusnya penjual Thailand ini mereka tidak
mendesak pembeli. Tidak seperti di Medan, Padang, Bandung atau Jakarta..
Rimas..
Teruskan perjalanan ke utara. Sepanjang jalan dapat dilihat tanah digunakan untuk pertanian secara
ekstensif. Tanaman jagung, padi, epal
kelihatan sepanjang jalan. Berani kata sampai ke 2 inci terakhir
berdekatan jalanraya, masih ditanam. Kami berhasrat singgah untuk membeli
jagung. Namun Mr Ti kata jagung tersebut untuk makanan haiwan sahaja...
Sampai di White Temple. Biasalah Thailand. Di mana-mana
sahaja penuh dengan dengan kuil Budhha mereka. Digelar White Temple kerana kuilnya berwarna putih perak. Tandasnya sahaja berwarna kekuningan..sesuai la tu... Agak lama di sini. Banyak foto yang dapat
diambil.
Kemudian kami singgah di perkampungan Long Neck. Suku kaum
Karen di mana kaum perempuannya berleher panjang. Leher mereka dibalut dengan
lingkaran besi berwarna emas. Puak ini kini semakin pupus. Individu yang
memakai besi di leher juga tidak sampai 10 orang. Tips: bila nak pergi
melancong ke Chiang Rai, minta agen masukkan pakej ke kampung Long Neck dan
Laos dengan harga terendah. Jika tidak, agen tidak masukkan pakej ini. Bila
kita minta pergi ke lokasi tersebut mereka akan kenakan harga baru yang tinggi.
Atau mereka akan tawarkan lawatan ke
lokasi ini kemudian. Jadi harga lain pula nanti. Dikatakan leher perempuan Karen ini tidaklah memanjang, tetapi bahu mereka
yang jatuh. Manakan tidak, berat logam ini boleh mencapai sehingga 5Kg.
Diteruskan ke Chiang Rai. Kami singgah makan tengahari di
sebuah restoran khas untuk pelancong yang akan ke Golden Triangle. Malangnya tiada tempat solat di sini. Mr Ti
kata dia sendiri tak pernah bawa pelancong muslim. Kalau adapun mereka tak
pernah minta tempat solat. Mr T bincang
dengan pengurus restoran. Kami dapat suatu sudut di hujung. Tolak sedikit kerusi
meja. Bentang kain pelikat. Solat. Ramai chef dan pelancong yang berkeliling
melihat kami solat. Apatah lagi Kak Nor dan Na yang memakai telekung. Sesuatu
yang baru lagi pelik bagi mereka. Mudah-mudahan mereka mendapat hidayah suatu
masa nanti..amin Ya Allah.
Selesai solat, kami gerak ke jeti. Naik bot panjang bersama
pelancong lain. Tiket telah termasuk bayaran RM250 tersebut. Kalau lawatan persendirian kita kena bayar
350 baht untuk naik boat. Destinasi ialah Golden Triangle. Kenapa Golden
Traingle? Segitiga Emas? Ini adalah
kawasan perdagangan candu terbesar di dunia. Mereka gunakan emas untuk jual
beli candu. 1 kg candu harganya 1kg
emas. 60% candu di dunia datang dari kawasan ini. Dikatakan segitiga kerana di sini pertemuan
negara Laos, Thailand dan Myanmar (dulu Burma).
Pertemuan 2 sungai utama di sini menjadikan jalan perhubungan
perdagangan yang strategik. Sungai Mekong dari China bertemu Sungai Rua dari
Burma. Terdapat sebuah pulau di tengah kuala sungai ini. Dikenali sebagai No
Man Land. Tiada negara memiliki pulau ini. Masih ada perniagaan dadah di sini.
Pokok poppy ditanam oleh puak peribumi seperti Karen, Akha,
La Hu, Mong Yaw. Mereka ini asalnya tiada kewarganegaraan. Kini kerajaan Thailand beri kewarganegaraan
kepada puak-puak ini. Maka perdagangan candu berkurangan.
Menelurusi sungai Mekong, hala ke utara adalah negara China
lebih kurang 200km. Kebetulan kami dapat melihat kapal dagang yang sedang
belayar balik ke China. Bergerak dari
tanah Thailand terus ke utara, di sebelah kanan ialah Myanmar. Terdapat sebuah
kasino di atas tebing. Tertulis Win Win. Di sebelah kanan tebing sungai di negara Laos,
ada juga kasino. Ramai orang Thai datang berjudi di kedua-dua tempat ini,
termasuk dari China juga. Thailand mengharamkan perjudian, tetapi menghalalkan
pelacuran.
Kami naik ke tebing di tanah Laos. Terdapat tempat beli belah
yang dibenarkan pelancong masuk tanpa pemeriksaan passport. Banyak barangan
kulit yang murah di sini. Tapi bukan ori. Made in China. Harga murah. Boleh
ditawar. Misalnya beg Deuter untuk backpackers semurah RM50.00. Selain itu whiski ular favourite di
sini. Ular, mengkarung, katak dan
binatang bisa lain dimasukkan ke dalam botol whiski.
Selepas membeli, kami turun ke bot semula, mudik dan naik
semula ke tebing di Thailand. Perjalanan
diteruskan lagi ke utara, ke Maesae. Maesae ialah titik paling utara di
Thailand. 62 Km dari Chiang Rai. Hinggakan kami dapat memasuki Myanmar melalui
bahagian tepi pintu gerbang. Jika masuk ikut pintu gerbang perlu cap passport
dan bayaran. Bagi rakayat kedua-dua negara mereka boleh keluar masuk dengan
bayaran 50 baht. Pasar malam baru sahaja
bermula. Hari pun semakin malam. Tak banyak yang dapat disambar. Jika sesiapa
nak shopping di sini sahaja pun boleh. Naik kapalterbang dari Chiang Mai ke
Chiang Rai dan bermalam di hotel-hotel murah di sini. Dah malam, kami bertolak balik ke Chiang Mai.
No comments:
Post a Comment