11 December 2013

Bercuti ke Chiang Mai - Hari 3



26.10 2013
Pagi bertolak ke Pusat Penjinakan Gajah Maetaman. Mr Sakchai  Ruenkam sendiri yang jadi guide. Mr Sakchai adalah ketua guide bagi agensi  yang kami  guna khidmat ini.  

 Di sini, gajah-gajah akan membuat pelbagai pertunjukan. Kita boleh bergambar dengan gajah-gajah ini dalam pebagai aksi seperti duduk di atas lututnya, badan diangkat belalai gajah. Jangan lupa hulur sedikit baht ke hujung belalai gajah. Gajah akan hulurkan wang tip ini kepada tuannya. Rata-rata lelaki yang mengendalikan gajah ini daripada suku kaum Karen yang berasal dari Burma. Mereka memakai baju merah sebagai lambang suku kaum. Mereka terkenal sebagai penjinak gajah. Sebab itu orang putih gunakan kepakaran mereka ini untuk membawa keluar kayu balak dari hutan di Indo-China pada era kolonial.

Gajah-gajah ini juga akan menunjukkan aksi mengangkat dan menyusun kayu, bermain bola, memijak manusia (bukan pijak betul), dan paling menarik, gajah boleh melukis gambar.. Setelah selesai menonton, kami dibawa pula menunggang gajah. Seperti di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang. Bezanya di sini gajah akan menyeberangi sungai, memanjat bukit, melalui hutan, melintasi jalanraya dan sampai ke sebuah kampung. 

Hampir satu jam untuk sesi ini. Di dalam perjalanan tersebut, ada gerai-gerai menjual tebu dan pisang. Kita boleh membeli pisang dan tebu ini dengan harga 30 baht. Ini menjadi sumber pendapatan bagi sesetengah penduduk kampung.  Sampai di hujung kampung, kita diturunkan di deretan kedai menjual kraftangan pula. Dari sini kita akan berpatah balik ke tempat mula-mula tadi dengan menaiki kereta lembu pula. Ada juga orang menjual pisang untu makanan lembu ini.  Lihatlah bagaimana mereka menjadikan ini sebagai satu pakej. Semasa kita melintasi sungai tadi, kelihatan rakit-rakit buluh bersedia  membawa pelancong berakit menghilir.  Selesai menaiki kereta lembu, kami makan tengahari di cafe di situ. Semuanya termasuk dalam pakej. 


Kemudian, kami teruskan ke Masjid Syeikh Abudllah haji Al Kelabi. Di sekitar masjid ini adalah perkampungan Muslim.  Selepas solat Zohor, gerak pula ke Gem Stone. Batu permatanya memang menawan, namun apakan daya poket agak nipis. Boleh guna kad kredit. Rasanya tiada di antara kami yang membeli. Di sebelahnya pula kedai barangan kraf daripada kulit telur.Singgah, tai sekadar window shopping.   Kemudian di sebelahnya pula, kedai madu. Di sini kami semua membeli madu dan pollen setelah dibuat demo oleh penual. Ada hadiah percuma. Duit Malaysia diterima. 1kg madu harganya RM100.00. Bergerak pula ke kedai sutera. Ada demo proses tenun sutera. Sutera Thai memang halus dan cantik. 


Semua kedai ini terletak berderet di sepanjang jalan ini. Kami gerak naik bas.  Terus pula ke CPT Leather. Barangan kulit agak murah. Ada tempat solat disediakan, tertulis TEMPAT SEMBAHYA   NG.  Huruf NG tu agak jauh sedikit. Haha..  Emili dan Shahrom membeli dompet.  Gerak lagi ke kedai  payung. Kertas payung diperbuat dari pokok kayu yang dihancurkan.  Kami  tak membeli. Agak sukar membawa payung balik nanti. 


Kami balik ke Chiang Mai. Turun di Pasar Lama Waroros. Kak Nor dan Na membeli kain pasang. 4 meter Rm27.00. Corak boleh tahan juga. Ada terjumpa corak yang sama yang kami pernah beli melalui internet dengan harga RM60 semeter.  Pasar ini tutup jam 6.00 petang. Setelah agak lama, kami bertemu semula dan naik  trak merah untuk balik ke hotel. Trak merah  boleh bawa kita pusing bandar  dengan kapasiti maksimum 20 orang. Tambang 20 hingga 30 baht ( RM2.00- RM3.00) . Jika trak putih, destinasi ke luar bandar.  Tut-tut pula hanya muat dua penumpang. 

Selepas makan malam di kedai makan di pasar  malam Anursan, kami menyopping lagi. Kak Nor dan Na pergi ke SPA Aromaterapi. Saya dan Che Lah naik tut-tut ronda ke hujung jalan Charoenprathet. Pemandu tut-tut menawarkan kami pergi ke tempat pelacuran. Kami menolak. Dia terkejut. 


Kami bercadang balik semula ke hotel dengan berjalan kaki sahaja. Lebih kurang 1 km.  Terjumpa pula simpang bertulis HALAL STREET.  Ada sebuah kedai ala-ala kedai mamak. Tertulis Fatimah Burger House. Kami pekena teh tarik dulu. Kedai muslim. Di hadapan kedai ada masjid dan sekolah kanak-kanak Muslim.  Kata pengurus kedai, kawasan ini kawasan komuniti Muslim di Chiang Mai. Katanya di siang hari, pelbagai aktiviti boleh dilihat di sini. Solat jemaah, sesi pembelajaran kanak-kanak Islam, pelancong Malaysia dan Indonesia ramai di sini. Dia sendiri ada membuat pakej lawatan Muslim. Mungkin di masa akan  datang bolehlah  menggunakan pakej beliau ini.  Nama syarikat beliau Salintip Travel. 

Kami berjalan kaki balik ke hotel.  Di sepanjang jalan meriah dengan pesta jual beli. Baju sejuk telah mula dijual. Nov hingga Feb cuaca akan lebih sejuk di Chiang Mai. Peak season. Hotel akan lebih mahal.

27 Okt 2013, kami dihantar oleh agen ke lapangan terbang. Layanan agen pada tahap sangat memuaskan.  Pukul 9.30 pagi terbang balik ke Malaysia.

2 comments:

  1. Tk di atas info yang sangat menarik. Boleh tak saya dapatkan info tentang agen yang digunakan sepanjang lawatan.

    ReplyDelete
  2. Tk di atas info yang sangat menarik. Boleh tak saya dapatkan info tentang agen yang digunakan sepanjang lawatan.

    ReplyDelete