16 May 2010

CERITA TEMUDUGA CALON KPLI OPSYEN MUZIK.


 (Diceritakan oleh en. Um.)

 En. Um: masa di universiti awak ada pegang apa-apa jawatan berkaitan aktiviti muzik?
Calon KPLI: hish…ada la encik. Saya terlibat dalam kumpulan cak lempong.
En. Um: jawatan apa?
Calon KPLI:  AJK peralatan.
En. Um: awak main alat apa?
Calon KPLI: saya tak pandai main encik. Saya jaga alatan je...
En. Um: ????
.......................................................................

En. Um: awak nak ambil opsyen muzik ni, alat apa yang awak boleh main?
Calon KPLI: err…alat tiup encik.
En. Um: apa namanya?
Calon KPLI: alat tu..errr....namanya....hmmm..(melilau mata ke sekeliling bilik)
En. Um: macamana alat tu?
Calon KPLI: alat yang cerita P. Ramlee cucuk mata dengan garfu tu cik...
En. Um: (dalam hati) oo...mentang-mentang alat tu tak ada dalam bilik temuduga ni...
Calon KPLI: (dalam hati) selamat aku....
............................................

En. Um: baiklah sekarang kita buat polairama pulak (latihan tepuk tangan ikut irama)
Calon KPLI: alamak encik. Polairama tak bawak. Tertinggal kat rumah.
En. Um: (dalam hati) kelentong betul...tak tahu la tu...
.........................................................................

En. Um: Saya tahu pada awak ada satu alat. Awak datang ni pasti membawa satu alat.
Calon KPLI: alaa..encik ni..(aksi mengada)..ke situ pulak. Malu lah encik...hehe..
En. Um: (dalam hati) otak biru..    
               Alat yang saya maksudkan ialah suara. Ia adalah sejenis
               alat dalam muzik. Suara dapat mengalunkan melodi,  pitching dan
               memberi ton bunyi.
Calon KPLI:  oooo...macam tu ke cik?
....................................................................

En. Um: baiklah, sekarang awak kena nyanyikan satu lagu. Sila bagitahu lagu apa.
Calon KPLI: Lagu....Demi Negara..
En. Um: Demi Negara? Macamana lagu tu?
Calon KPLI: (menyanyi ikut tune lagu Sejahtera Malaysia: Puji dan syukur pada Ilahi) 
Demi negara yang tercinta..... (terhenti di baris ke-3)

09 May 2010

Titik Lenyap


Allahumma bika asbahnaa, wabika amsainaa, wabika nahyaa, wabika namuutu, wa ilaikan nusyuur.  (Doa di waktu pagi)

Membuka pintu di pagi ini, bayu pagi tiba-tiba menerpa wajah. Dingin. Terkejut kecil dibuatnya. Ohh...malam tadi hujan telah turun. Meninggalkan titik-titiknya bergantungan di hujung dedaun akasia. Bagaikan kristal jernih yang tersusun. Indah. Murni. Terbang murai dan ciak sambil sudi pula menyanyikan lagu selamat pagi yang ringkas, namun menghiburkan.


Warna perak di ufuk timur telah mula dicemburui sinar emas sang suria. Kiranya sebentar lagi sang suria bakal tersenyum menerangi satu lagi hari baru.  Ahh…selalu aku merasa malu kepadamu sang suria..

Nun di sudut kanan kira-kira 1 batu dari jarak ku berdiri, bukit Kampung Binjai, masih berselimut kabus. Aduhai… ada semacam déjà vu di pandangan mataku terus menyelinap ke sudut nostalgia yang paling dalam…… di galeri manakah pernah ku melihat  lukisan alam yang semacam ini?


Dapat ku lihat berbalam Sungai Lipis di hadapan bukit Binjai itu  menghilir tenang dan lembut disaput kabut. Selembut kehijauan yang melanskap perbukitan Taman Emas ini juga. Alir Sungai Lipis yang santun itu lalu bersambut salam sopannya arus Sungai Jelai. Maka di situlah Kuala Lipis mengisytiharkan keberadaannya…

Ya, pada telahanku, Taman Emas yang baru seminggu kudiami ini merupakan taman perumahan yang tertinggi dari aras laut di wilayah Kuala Lipis ini.  Sekurang-kurangnya buat masa sekarang. Sebahagian pinggir Bandar Kuala Lipis dapat ditatapi tanpa halangan. Alam yang terbentang luas sejauh pandangan yang ingin disaksikan dari langit ke bumi.  

Melihat kereta berhenti di lampu isyarat simpang tiga di Batu Dua bagaikan menyaksikannya dari tingkat 17 bangunan Bukit Aman. Nah! Terpampang di seberang jalan sana lurus tegak dari arah ku berdiri ialah bangunan Pejabat Pelajaran Daerah Lipis yang baru sedang dalam pembinaan. Lokasi yang menarik di pertengahan bukit di belakang Sekolah Menengah Setiawangsa. Disebelahi  oleh Taman Ceneras dan Taman Cahaya. Menoleh ke kiri kira-kira 45 darjah, Taman Permai kelihatan sudah bangun justeru beberapa kenderaan sudah mulai keluar ke simpang kampung Tempoyang. Ya, di sinilah  bandar, di sini pekan, di sini juga kampung. Semuanya.

Sewaktu-waktu, aku masih tetap teruja setiap pagi, petang, senja malah hingga ke larut malam berada di pinggir pagar bukit di depan rumah. Setiap waktu itu, menyajikan kelainan tona warna dan rasa tersendiri. Walau  deruman  kenderaan di jalan raya Gua Musang - Kuala Lumpur di bawah bukit ini sekali sekala kedengaran, ia bagaikan gangguan nakal yang memeriahkan hari cuma.


Aduhai, bila kanvas pagi disketsa kabus, langit malam dipercikkan bintang yang menzahirkan buruj dan galaksi, dan bayu dingin mesra menerobos, maka teringatlah saya, suasana ini tidak jauh bezanya dengan waktu-waktu ku berada di Kampung Janda Baik, Cameron Highland, Bukit Fraser dan paling menggamit nostalgia, ketika di Kundasang.

Kini ku memiliki dan merasai suasana itu lagi...setiap hari.

23 April 2010

Nak teruskan ke tak?


Alhamdulillah….usai satu semester daripada beberapa semester yang tak pasti berapa banyaknya akan mendatang. Paling cepat 8  sem. Itupun hampir-hampir  mustahil. Sedangkan pelajar yang sepenuh masa, ramai juga yang tak mampu menghabiskan 4 tahun pengajian,  inikan pula pelajar separuh masa.

Walaupun saya tak ingin menjadi pesimis, namun menjadi optimis juga tidak begitu realistik. Biarlah saya sasarkan matlamat mengikut daya tahan dan kebolehsuaian diri. Jika melihat kekangan yang ada, mahu saja  mengangkat bendera putih. Waktu kerja 8.00-5.00, balik rumah tenaga dah hampir habis. Nak bersenam pun tak berapa nak sempat. Bila malam, belum pun pukul 11.00, mata dah mengantuk. Esok,  rutin yang sama berulang lagi. Beban kerja tak pernah surut, malah makin bertambah ada lah...  banyak kerja tertangguh ke saat akhir.. walaupun dapat disiapkan , sudah tentu kualitinya tak sebagus jika disiapkan dalam waktu yang lebih  selesa.

Habis, bilakah masa saya akan membuka buku? Meneliti jurnal? Melayari perpustakaan maya? Menulis disertasi? Aahh...jangan ditanya bila nak jumpa penyelia? Bila nak pergi ke lapangan?  Baru merancang nak hubungi penyelia, surat kursus dah sampai. Baru nak meneliti  kajian  terdahulu, mesyuarat dah memanggil. Bengkel dah menunggu, latihan dalaman dah menjeling, penyeliaan praktikum belum selesai, ”laporan mana?” kata KJ,  Penilaian Program cepat siapkan, ”Kuliah belum ganti!, acara di dewan, esok kena ke Putra Jaya, bla,bla,bla,bla, blahhhh.....

Mungkin esok saya kena pergi periksa tekanan darah.....  

09 April 2010

LAPANG SIHAT BUKAN SEMPIT SAKIT


Khutbah Jumaat di Masjid Kg. Berchang, Kuala Lipis hari ini 9 April 2010 menyentuh  isu kelalaian manusia. Imam, Ustaz Namlur, menyebut dua  perkara yang sering melalaikan  manusia, iaitu kesihatan dan kelapangan masa. Kita juga tentu ingat  hadis menyebut “rebutlah  lima sebelum datang yang lima. “

Ya, ketika badan sihat banyak perkara dapat dilakukan. Dapat bersukan, makan yang sedap-sedap dan banyak-banyak, makan angin ke sana-sini, dan apa-apa sahaja yang sayugia dilakukan oleh orang sihat.

Demikian bila ada kelapangan masa. Banyak kerja dapat disiapkan. Dapat beribadah atau melakukan amal jariah lebih banyak, melayani orang lain, atau apa sahaja  apabila adanya kesihatan yang baik.  Sihat dan lapang. Saling melengkapi.

Oleh itu syukurlah jika kita masih memiliki kedua-dua nikmat ini. Andai kita tak punya salah satu, alangkah malangnya hidup kita. Lapang  tapi sakit, atau sihat tapi sempit adalah kombinasi  yang pelik. Apatah lagi jika sibuk yang tiada lapang atau sakit yang tiada sihat. Terlalu sibuk, akan membawa kepada sakit. Tak kiralah sakit jasmani atau rohani. Bila dah sakit, tiada lagi kelapangan fikiran. Ya kelapangan di sini bukan sahaja aspek masa, tetapi fikiran juga... Lapang dah jadi sempit. Sihat dah jadi sakit. Ketika sempit lagi sakit sudah menggantikan lapang yang sihat, maka sebuah keluhan adalah harga yang paling mahal, hatta tidak akan mampu melunaskan apa yang telah kehilangan...

Refleksi: Diri ini menginsafi... dan akan sentiasa menginsafi....


28 March 2010

DI PINGGIR BARZAH


4 hari ini saya benar-benar lemah..

‘br smp umah…’
Demikian  SMS yang saya terima  pada 22 Mac 2010 pukul 1.37 tengahari. Inilah SMS terakhir yang saya terima dari adik bongsu saya, Muhammad Arif. Saya tidak membalas SMS itu. Bahkan saya memadamkannya. Namun saya masih mengingatinya.

Dalam jangkamasa sebulan sebelum ini, dia memang semakin tidak sihat. Kerap demam, mengah dan hilang selera. Penyakit jantung berlubang yang dihidapinya sejak kecil mulai menyerang lagi. Sehingga dia dimasukkan ke wad 4 hari. Balik ke rumah, kadang-kadang dia kelihatan sihat, kadang-kadang moyok. Namun seminggu sebelum ajalnya, dia selalu SMS saya menyatakan dia sudah tak tahan lagi…, kadang-kadang minta saya belikan minuman air kotak perasa kundur, minta saya hantarkan ke klinik atau minta saya saya hantar balik kampung (Dia tinggal dengan saya di Kuala Lipis beberapa hari untuk berubat secara tradisional).

Pada 22 Mac 2010 dia kembali ke kampung. Pada malamnya diadakan Ceramah Maulidur Rasul di masjid kampung. Mak memberitahu, dia yang sudah lama tak ke masjid akibat uzurnya itu, tiba-tiba berasa sihat lalu memandu kereta ke masjid dalam hujan agak lebat. Selepas ceramah, satu jamuan diadakan  di sebuah rumah penduduk kampung. Dia sempat membawa penceramah dan Tok Imam ke rumah tersebut. Dan dia makan dengan amat berselera sekali sehingga menimbulkan kehairanan orang lain. Menurut  Pak Teh  Hanifah, Arif ada berkata; ”Malam ini Allah SWT memberi saya selera lebih, mungkin lain kali saya dah tak ada peluang makan begini lagi”.

Selepas jamuan dia menawarkan untuk menghantar Ustaz Kamaruzaman iaitu Tok Imam kampung balik kerana hujan masih lebat. Namun Ustaz Kamaruzaman menolak kerana ingin balik sendiri selepas hujan reda. Arif memberitahu Pak Teh  Hanifah rasa terkilannya. ”Saya terkilan betul tak dapat menghantar Ustaz Kama balik. Mungkin inilah khidmat saya yang terakhir untuknya. Ustaz Kama tuan guru saya.”  Hal ini kemudiannya diberitahu oleh Pak Teh kepada Ustaz Kama. (Semasa kami nak memandikan jenazah Arif, kami terpaksa menunggu dalam 2 minit kerana Uztaz Kama yang sepatut memulakan jirusan, telah tersesak-esak dengan hebatnya. Dia teringat kata-kata  Arif tersebut agaknya.)

Sekembali ke rumah, Arif memberitahu mak tentang dia makan agak berselera pada jamuan itu. Mak rasa gembira. Namun apabila subuh esoknya apabila mak mengejutkan Arif untuk bangun solat subuh, itulah kali terakhir mak melihat anak bongsunya itu baring di katil di bilik bujangnya itu. Anaknya itu sudah tidak menyahut dan sudah tidak bergerak lagi….Hanya raungan mak sahaja yang kedengaran…

Apabila saya sampai ke kampung, jenazah Arif yang dilitupi kain batik lepas, masih di kelilingi saudara mara. Saya menyelak kain dan melihat wajahnya. Saya melihat dia seperti tidur sahaja. Dan suhu di lehernya masih seperti normal. Namun air mata saya tumpah semahu-mahunya…. Saya dapat bayangkan air mata mak sejak pagi tadi sudah tentu berlebih-lebih lagi…

Sesudah memandikan, kami mengkafankan. Kak Long dari Kuala Lumpur masih dalam perjalanan. Kami teruskan solat jenazah. Lantaran bimbang hari akan hujan, kami segera membawa jenazah ke kubur. Di perkuburan, kami menunggu lebih kurang 15 minit sehingga Kak Long, Abang Bad dan anak-anaknya sampai. Sempat mereka menatap kali terakhir dengan cucuran air mata. Cuma Yus dari Ipoh sampai sudah senja.

Ketika saya memangku kepala Arif dan meletakkannya ke liang lahad, dan membuka kain yang menutup wajahnya, dan menghadapkan wajahnya ke kiblat, saya telah berada di pinggir barzah itu. Dan saya melihat Arif masih ’tidur’….

 Benar, tidak sampai 24 jam selepas SMS nya yang terakhir  itu, dia telah sampai di ’rumah’nya setelah 23 tahun Allah mengizinkannya bermusafir di dunia fana ini..
..............................................

Muhammad Arif adikku, mak memberitahu bahawa kau selalu mengeluh, kau banyak menyusahkan aku, kau berazam nak membayar semula segala wang yang aku belanjakan untukmu, (bahkan mak menunjukkan kepadaku catatan azammu itu),   itu semua hanya membuatkan mata ini makin berkaca sahaja..Aku tidak pernah minta balasan atau bayaran. Aku hanya ingin melihat engkau berjaya dan gembira…Aku redha dengan perpisahan ini. Semoga Allah SWT meredhaimu, melapangkan ’rumah’mu, dan menggolongkanmu ke dalam kumpulan orang-orang beriman.. Amin..

05 March 2010

JAHUT DI JERANTUT


Menjengah ke Sekolah Kebangsaan Sungai Kiol (SKSK),  pada Sabtu, 27 Feb. 2010 bersama 38 pelajar semester 5 IPG Tengku Ampuan Afzan, ternyata menambah pengalaman dan pengamalan. Sejauh 6km dari Bandar Jerantut, SKSK adalah laman ilmu kepada 106 murid Orang Asli suku kaum Jahut. Dengan pencapaian terbaik 2A2B1C dalam UPSR, SKSK masih bertatih menjejak kecemerlangan.

Menurut Cikgu Suhaimi  bin Abd Hamid, GPK 1 SKSK, yang telah berkhidmat di sini sejak SKSK masih berbangunan kayu, guru-guru yang mengajar di sekolah bermuridkan Orang Asli, mestilah menguasai serba sedikit bahasa suku kaum tersebut. Guru ini  akan mudah mendekati dan didekati murid.  Menguasai bahasa ibunda murid amat membantu guru menjayakan core-business; pengajaran dan pembelajaran.

Namun peranan guru meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia di kalangan murid SKSK adalah lebih utama. Menurut Cikgu Suhaimi, kerapkali murid-murid tidak dapat mengingati nama ayah mereka dan ayah juga tidak dapat mengingati nama anak apabila berurusan secara rasmi. Hal ini disebabkan nama-nama mereka disebut secara berlainan ketika di rumah.

Menurut Guru Besar SKSK, Abd Mohin Bin Mohd Yusof, walaupun murid-murid Orang Asli sering diberi pelbagai bantuan oleh JHEOA, pihak SKSK sendiri sedang dalam proses mengurangkan pergantungan ini. Ia  bertujuan mengubah mentaliti subsidi dan menggalakkan sikap berdikari. Misalnya pihak sekolah hanya memberi alatan tulis sekali sahaja pada awal tahun.

Cikgu Suhaimi mengakui masalah rendah diri adalah ketara di kalangan murid Jahut. Sikap ini sudah beransur ditinggalkan oleh Jakun di Rompin dan Semelai di Bera  di mana kedua-dua suku ini yang termaju di Pahang.  Melalui kegiatan sukan, kokurikulum dan penglibatan dalam pertandingan peringkat daerah,  konsep kendiri murid SKSK  mulai berubah.  Hatta ada murid terpilih mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

Antara program SKSK dalam meningkatkan kecemerlangan ialah menaik taraf Pusat Sumber Sekolah ke kedudukan terbaik peringkat negeri Pahang. SKSK telah mendapat Naib Johan bagi Anugerah Gading Bersilang Peringkat Negeri Pahang pada tahun 2008 dan sebagai Johan pada 2009! SKSK kini sedang mewujudkan galeri Jahut, sebagai pusat rujukan berkaitan suku ini. Juga akan terus meningkatkan kegiatan kokurikulum sebagai usaha menarik minat murid bersekolah.

Faktor dalaman diri Orang Asli seperti sikap dan tanggapan terhadap kepentingan pembelajaran formal lumrahnya dimaklumi kita semua. Termasuk juga kedhaifan prasarana dan kemunduran sosioekonomi sering dikait dengan masalah keciciran mereka. Orang Asli perlu diberi masa untuk berubah.

Sementara itu, agen perubahan yang hadir untuk mengubah, perlu juga dinilai. Cikgu Suhaimi menyatakan bahawa persepsi guru terhadap Orang Asli khususnya murid, perlu diperbetulkan. Hipotesis bahawa murid Orang Asli tidak perlu dibimbing perlulah dikikis. Dikhuatiri persepsi sebegini akan membentuk sikap guru yang kurang komited.
                Menurut Ketua Setiausaha Kementerian  Pelajaran Malaysia, quality of school cannot exceed the quality of teacher.[1]. Bermaksud peranan guru dalam mencanai dan membentuk kejayaan sekolah mengatasi peranan personel yang lain termasuk pentadbir dan mendahului segala program kecemerlangan yang dirancang dan dilaksanakan. Titik pertemuan dimensi masa dan ruang khususnya yang berlaku dalam bilik darjah meletakkan guru sebagai insan luarbiasa yang di tangannya punya sentuhan ajaib ke manakah arah pemikiran murid-muridnya akan dihala.
                 Selari dengan  pernyataan Marzano[2] bahawa tindakan guru dalam bilik darjah memberi kesan dua kali ganda terhadap pencapaian pelajar berbanding polisi sekolah berkenaan kurikulum. Ini berbalik kepada tanggungjawab guru terhadap pelajar. Guru yang bertanggungjawab ibarat benih yang baik yang tumbuh biar ditanam di mana sahaja. Andai ditugaskan mengajar di hutan belantara seperti di Lemoi, di pulau seperti di Bum-Bum, atau di hulu sungai seperti di Gusai, tanggungjawab digalas dengan amanah, khidmat diberi dengan sempurna.

                Demikianlah komitmen yang ditunjukkan oleh guru-guru SKSK dalam mendidik anak-anak Orang asli.  Di samping gigih meneruskan pelbagai program dalaman, mereka sangat menyambut baik program anjuran pihak luar seperti IPG TAA dalam meningkatkan pencapaian murid-murid SKSK.  Program sehari bersama pelajar IPG TAA telah berjaya memotivasikan murid-murid SKSK di samping menjalin interaksi yang mesra dan lebih terbuka. Sehingga melalui pemerhatian guru-guru SKSK, melalui program ini murid-murid  sudah mulai berani mengeluarkan pendapat, menjawab soalan dengan baik dan semakin yakin diri. Sedangkan hal sedemikian sukar dilakukan dalam tempoh singkat   sebelum ini.

Terkini SK Sungai Kiol berada pada kedudukan ke-4 terbaik di kalangan sekolah bermurid Orang Asli di Negeri Pahang. Tahniah kepada guru-guru SK Sungai Kiol. Kemenjadian murid-murid tersebut  adalah hasil air tangan anda.



[1] Tan Sri Dr. Hj.Zulkurnain b.Hj. Awang,  KSU KPM.
Ucapan Alumni MPIK 20 Feb.2010
[2] Dalam Syed Ismail et.al.m.s.100.2010. Budaya dan Pembelajaran. Puchong. Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd.