09 August 2010

GUNUNG DATUK


Pergh.!! Macam tak percaya saya mendaki gunung lagi. Setelah terkilan terlepas peluang menyertai Fauzi ke Gunung Tahan pada Jun lalu, peluang kali ini sekurang-kurangnya dapat mengubat kekecewaan.

Kali ini ke Gunung Datuk.  INFO:  Lokasi di Kg. Batang Nyamur, Gadung. 21 km dari Pekan Rembau, 15 km dari Pekan Tampin. Tinggi 2500 kaki. Jam standard mendaki ialah 2 jam.  Puncak gunung ini pernah digunakan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang untuk mengumpulkan Ketua-ketua Adat pada tahun 1372. Jika cuaca baik kita akan dapat melihat Selat Melaka dari puncak.

7 Ogos 2010, sampai di kaki gunung pada pukul 1.00 tengahari, bersama rakan, Fauzi dan 37 pelajar. Disebabkan kami lambat sampai,  khemah telahpun dipasang oleh penganjur. Tinggal nak kena masak untuk makan tengahari. Selepas Taklimat, rehatkan diri. Malam latihan kemahiran PBSM.

8 Ogos 2010. Selepas ’warming up’ sedikit taklimat, 8.00 pagi pendakian bermula. Turut sama pendaki dari Singapura, Majlis Sukan Negara, pelajar SMK Setiawangsa KL dan ramai lagi pendaki persendirian dan kumpulan kecil. Cabaran serta merta menerpa. Setiap langkah  tak pernah mendatar. Lutut dipaksa angkat tinggi. Di sesetengah tempat, lutut hampir saja mengena dagu. Seliratan akar-akar pokok  menjadi tangga semulajadi. Syukurlah cuaca baik walau pada mulanya guruh kedengaran.  Laluan pula tidak terlalu licin. Walau dalam teduhan pokok-pokok, peluh jenuh memandikan tubuh.

Pelajar-pelajar  telah jauh meninggalkan saya. Mereka mencapai bawah par dengan rekod satu jam setengah menawan puncak.  Hanya Q, Wawa, Kak Ina, Jihah, Amal, Afiq dan tiga orang dari UITM dan CIMB bersama kami sebagai kumpulan terakhir.  Akhirnya dalam tiga jam kami pun sampai ke puncak.

Di puncak kami terpaksa menunggu giliran menaiki tangga. Puncaknya luas boleh memuatkan dalam 50 orang.  Kelihatan kampung-kampung, jalanraya dan kebun di bawah sana. Namun kabus masih saja melindungi pada kebanyakan saat. Meski jam sudah 12 tengahari, kedinginan tetap terasa. Setelah puas bergambar, kami pun turun perlahan-lahan.

Perjalanan turun sepatutnya lebih santai. Akan tetapi, kuku kaki terasa sakit disebabkan lebih banyak gerakan ’membrek’ agar tidak  tergelincir. Mungkin faktor kasut juga.
Pukul 2.00 kami sudah sampai ke base. Masing-masing keletihan  dalam kepuasan.

Sebelum ini saya pernah menawan puncak  Gunung Senyum pada 1992 dan Gunung Kinabalu pada 2006. Pendakian kedua-dua gunung ini tidaklah begitu meletihkan. Cabaran Gunung Datuk ialah mendaki terus menerus secara vertikal. Boleh dikatakan tiada langsung tanah rata (horizontal)  untuk bergerak secara berjalan.

Terima kasih dan tahniah kepada Wawa, Naqiu, Syafi dan Jawatankuasa mereka yang menguruskan program ini. Kemahiran mengurus, interpersonal, memimpin, dan Kompetensi Kecerdasan Emosi anda semua sangat cemerlang.  Program ini sangat berjaya. Tidak lupa kepada Encik Rizzwan (Rizz Sharpshooter), En. Nan dan rakan-rakan dari MPAJ, guide dan Koperasi Gunung Datuk.

Jadual berikutnya Gunung Bubu, Gunung Tebu, Gunung Ledang, Gunung Stong.......


2 comments:

  1. salam tuan...ada kontek x utk naik gunung ni...merata dh mencari ni..kontek guide,tapak perkhemahan.just utk post dlm kakigunung adventure...harap boleh bantu...

    ReplyDelete
  2. boleh contact Rizz sharpshooter vi facebook

    ReplyDelete