09 August 2010

KELADAN


 Pekan Sari Padang Tengku, setiap pagi Ahad, atau Pekan Sari Benta, waktu dan hari yang sama, selalunya menyediakan banyak produk kampung. Hal ini samalah dengan Pekan Sari Temerloh, Jerantut atau daerah lain. Cuma di setiap daerah pasti ada kelainan produk kampungnya. Bagi Pekan Sari Padang Tengku, lokasi lebih kurang 15km dari bandar Lipis jalan ke Gua Musang, banyak yang dapat dilihat atau dibeli. Misalnya emping, asam belimbing hitam, sambal hitam, gulai keladi siap dimasak, daging salai, kulit lembu, asam rung buah perah, jeruk perah, ikan pekasam dan ulam-ulaman tradisional.

Terlihat ulam keladan. Sekarang musim. Cuba berkongsi info, namun tidak banyak maklumat tentang ulam ini dalam buku atau dalam internet.  

Menurut Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas, Pokok Keladan merupakan sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan Malaysia serta di negara-negara ASEAN yang lain. Nama botaninya *Dryobalanops oblongifolia Dyer. Tinggi pokoknya mencecah 60m.  Menurut sumber lain pokok keladan adalah keluarga pokok kapur. 

Bahagian yang dijadikan ulam ialah buahnya.  Oleh kerana pokoknya sangat tinggi iaitu spesis balak, maka buah yang diperolehi selalunya buah yang gugur ke tanah. Mulanya buah ini berbentuk bundar dan muda kehijauan. Apabila direndam ke dalam air, dalam tempoh 2 hingga 4 hari ia akan kembang dan bertukar warna kemerahan atau coklat. Apabila kembang, bentuknya seakan-akan cuping telinga kera. Tapi tak perlulah  dibayangkan begitu apabila memakannya  Satu bahagian yang akan berfungsi sebagai akar tujang akan kelihatan. . Samada kembang atau tidak, ia boleh terus dimakan.

Bagi penggemar ulam, keladan semestinya termasuk dalam repertoire mereka. Rasanya sedikit pahit, rangup dan kadang-kadang kelat. Biasanya dijodohkan dengan sambal tempoyak, sambal belacan atau sambal hitam. Tentang khasiatnya secara khusus, saya belum berjumpa setakat ini. Umumnya, semua ulam mempunyai khasiat tersendiri dalam meningkatlkan tahap kesihatan.

RUJUKAN ;

1 comment: