Apabila orang bertanya; Berapakah IQ anda? Ada di antara kita yang tahu, dan ramai yang tak tahu. Yang tahu mungkin pernah mengambil ujian IQ. Yang tak tahu kerana tidak pernah mengambil ujian tersebut atau langsung tidak peduli. Namun begitu, mungkin pula kita menjawab 40, 50, atau 60. Tahap 80 juga dianggap masih rendah.
IQ hanyalah 20% daripada ukuran kehebatan manusia. Selebihnya ialah EQ dan SQ. Ini semua terkandung di dalam kehebatan minda itu sendiri.
Manusia paling tinggi IQ pada masa ini ialah WILLIAM JAMES SIDIS dengan skornya 250-300. Beliau seorang Yahudi. Kita mungkin mempertikaikan kenyataan ini dek kerana Yahudi sentiasa memanipulasi maklumat untuk kepentingan dan kelebihan mereka. Namun kita tidak dapat mempertikaikan bahawa orang Yahudi memang paling ramai menjadi saintis, pereka cipta, genius, pencetus, perancang strategik dan para bilionaire. Meski jumlah mereka tidak sampai 30 juta orang, mereka berjaya menjajah minda manusia seluruh dunia. Selain ideologi, doktrin dan usaha mereka yang berterusan (yang mana kita tidak akan sekali-kali mengikutinya), banyak aspek lain yang boleh kita amalkan khusus dalam konteks hidup sebagai muslim.
Berikut adalah ulasan buku RAHSIA MINDA HEBAT.
Nama Buku: RAHSIA MINDA HEBAT
ISBN 978-967-5102-37-0
Penulis: DATO SITI NOR BAHYAH MAHAMOOD & HAJI MUHAMMAD ZAKARIA
Penerbit: TELAGA BIRU SDN BHD
Tahun : 2009
Bil. Muka surat : 175
Harga: RM26.00
Fizikal buku yang comel dengan kertas glossy lengkap dengan gambar berwarna, foto yang menarik, gambarajah, rajah saintifik, jadual, ayat Al Quran, Hadis, doa, info dan fakta mengejutkan. Sesuai untuk hafalan, kajian dan rujukan.
Mengandungi 18 bab yang distruktur dari kejadian otak manusia sehinggalah pelan bertindak. Bab 1 memaparkan struktur otak dan fungsinya. Bagaimana merangsang otak dengan aroma, muzik dan warna. Kecemerlangan otak akan meningkatkan martabat akal. Mengabaikan peranan akal akan merendahkan martabat manusia.
Apakah yang melemahkan akal dan merosakkannya? Jika akal dapat menjadi lemah, bermakna akal juga boleh dikuatkan atau ditingkatkan kecerdasannya. Antara amalan yang disyorkan ialah menghafaz Al Quran,, doa Nabi Musa dan wirid-wirid yang khusus.
Oleh kerana ingatan, lupaan, fikiran dan akal terletak di dalam otak, dan otak adalah organ di dalam tubuh manusia, maka pemakanan yang baik sangat penting untuk memastikan otak berfungsi dengan baik. Apakah khasiat halia?
Buah berangan bukan untuk menggalakkan kuat berangan-angan, tetapi ia sangat baik untuk menghilangkan lupa. Pernahkah kita makan telur burung merpati dan kemenyan putih? Bagaimana Nabi makan tembikai? Selain itu pemakanan minda yang biasa diketahui juga disentuh; misalnya buah tin, kismis, kurma, buah zaitun, badam, kacang hazel, za’faran dan susu.
Ketahuilah, perempuan Yahudi tidak digalakkan minum Koka Kola ( buka ejaan sebenar). Minuman itu dikatakan merosakkan rahim perempuan. Apabila seseorang ibu di kalangan orang Yahudi diketahui mengandung, maka dia akan mengambil makanan yang mengandungi omega seperti ikan tuna. Selain itu dia akan bermain piano dan membuat banyak latihan matematik. Hal ini akan mempengaruhi otak bayi yang dikandungnya. Dalam bab 10 buku ini diterangkan bagaimana mencerdaskan akal bayi. Termasuk mimpi ngeri akibat memakan makan segera.
Selain diet, aktiviti fizikal dan riadah juga disentuh. Apakah aktiviti waktu senggang yang sesuai bagi minda?Tidak dilupakan tuntutan tidur untuk merehatkan tubuh dan minda. Apabila cukup rehat barulah otak dapat bekerja dengan lebih efektif. Otak yang cerdas akan dapat menghasilkan pemikiran kritis, kreatif, menaakul (reasoning), membuat ramalan dan proaktif.
Bagaimana Imam Ahmad bin Hambal mampu menghafal sejuta hadis? Atau mungkin pernah kita terdengar kanak-kanak seawal bawah 12 tahun mampu menghafal Al Quran. Mengapa perlu bersugi atau berbekam? Adakah berpuasa iaitu berlapar dapat mencerdaskan akal? Jika dari mata terus ke hati atau minda, maka bagaimana menjaga pandangan? Dikatakan melihat tubuh perempuan yang seksi atau pornografi dapat merosakkan akal.
Dari aspek psikologi juga perlu diambil kira. Amalan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah dapat meningkatkan jati diri dan kekuatan minda. Selalu membuat muhasabah (refleksi diri), berfikiran positif dan menampilkan imej diri yang baik akan dapat meningkatkan kemahiran intrapersonal dan interpersonal.
Buku ini telah mengupas secara komprehensif tentang bagaimana menghebatkan minda. Sewajibnya lah buku ini dimiliki oleh setiap keluarga khusunya keluarga muslim. Ketika umat Islam dan Melayu dianggap ketinggalan pada masakini, pembangunan minda dan revolusi mental sangat-sangat diperlukan. Cara pemikiran kita perlu diubah. Bahkan jika perlu, cara pemakanan juga diubah. Adakah kelemahan anak Melayu dalam Sains dan Matematik disebabkan mereka suka makan nasi lemak atau kurang makan makanan laut? .
Bermulalah hari ini jika tidak mampu bermula pada hari semalam. Milikilah buku ini segera. Baca, fahamkan dan amalkan seisi keluarga. InsyaAllah seluruh ahli keluarga kita akan berubah ke arah yang lebih baik. Matlamat jangka panjang ialah lahirnya umat Islam yang mampu bangkit memartabatkan maruah Islam dan Islam kembali menerajui ketamadunan dunia. WallAhua’lam.
No comments:
Post a Comment