10 July 2011

Rentas Praktikum : Penilaian Semula


Musim  praktikum bermula  lagi... 

Kursus perguruan di IPG atau di UPSI  merupakan  latihan ikhtisas bagi guru. Selain teori, praktikum adalah suatu komponen amat penting. Praktikum menterjemahkan segala ilmu teoritikal yang diperolehi di bilik-bilik kuliah. Semasa praktikum, guru pelatih  akan mempraktikkan  bagaimana merancang P&P, melaksanakan P&P, membina folio, jurnal dan catatan refleksi, serta menampilkan kemahiran profesionalisme yang lain.



Guru praktikum akan dibimbing oleh guru pembimbing yang dilantik oleh pihak sekolah di mana guru itu berpraktikum.  Guru pembimbing adalah guru yang mengajar dalam bidangnya dan dianggap pakar, misalnya jika guru praktikum itu bidangnya prasekolah, maka guru pembimbingnya semestinya guru prasekolah.  Guru pembimbing akan  membantu dan  membimbing guru praktikum berdasarkan pengalamannya. 

Selain guru pembimbing, pensyarah pembimbing juga akan turut membantu guru praktikum.  Konsep penyeliaan oleh pensyarah sebenarnya  membimbing, membantu, berkongsi idea dan membuat penilaian.  Secara umum, bimbingan guru pembimbing dianggap lebih berkesan disebabkan guru pembimbing sentiasa berada di samping guru praktikum. Beliau dapat memantau, mencerap, menyelia, menegur, memberi pandangan, malah menunjuk cara kepada guru praktikum pada kekerapan yang lebih tinggi dan jangkamasa yang lebih lama. Manakala  penyeliaan oleh pensayarah penyelia biasanya kurang sedikit dari segi kekerapan dan kepanjangan masa. 

Dalam kes praktikum cemerlang, pencalonan akan dibuat oleh pensyarah pembimbing setelah berbincang dengan guru pembimbing.  Setelah melalui beberapa kali penyeliaan dan bimbingan, jika guru dan pensyarah  pembimbing mendapati guru praktikum layak dicalonkan sebagai cemerlang, maka dua minggu terakhir fasa praktikum akan diperuntukkan kepada rentasan.

Rentasan adalah penyeliaan oleh pensyarah kanan atau Ketua Jabatan atau pensyarah pakar.Tujuan rentasan  adalah untuk mengesahkan calon tersebut layak  diberi gred cemerlang atau tidak.  Semasa rentasan, pensyarah rentas akan hadir pada suatu hari tertentu untuk menyelia P&P lalu mengesahkan cemerlang atau tidak. Namun, fungsi rentasan ini pada pendapat saya amat perlu didefinisi semula. Terdapat  kes di mana guru praktikum yang dicalonkan cemerlang, tidak mendapat gred cemerlang setelah dibuat rentasan.  Kajian perlu dibuat mengapakah guru tersebut gagal mencapai tahap yang dikehendaki oleh pihak yang membuat rentasan. 


Mengupas dan melapah aspek cemerlang atau gagal calon tersebut, jelas  melibatkan dua pihak. Guru praktikum dan pensyarah rentasan.  Tugas menyelia oleh guru pembimbing dan pensyarah pembimbing dianggap selesai setelah pencalonan dibuat.  Bagi pihak guru praktikum, dia dianggap bertuah jika pensyarah rentas memberitahu bila  rentasan akan dibuat. Ini memberi  peluang guru praktikum bersedia lebih awal dari segi material, mental, psikologi  dan fizikal. Jika pensyarah rentas main terjah sahaja, maka guru praktikum harus dalam keadaan bersedia sepanjang masa. Hal ini kerana pensyarah  rentas  akan muncul bila-bila sahaja dalam tempoh dua minggu terakhir tersebut.  Baiknya hal ini ialah sebagai  bakal guru cemerlang, dia sepatutnya sentiasa bersedia.  Buruknya pula,  dia mungkin mengalami stress yang tinggi atau dilanda kekecewaan (anti  klimaks) jika setelah sangat bersedia, tiba-tiba pensayarah rentas tidak juga muncul. Maka  dia harus menyediakan P&Pnya untuk hari seterusnya pula. Fenomena stress  guru praktikum memang diketahui oleh warga pendidik. 

Agak malang jika pada hari pensyarah rentas datang, guru praktikum kurang bersedia. Barangkali ini akan menjejaskan reputasinya sebagai calon cemerlang.  Atau juga dia tidak bersedia walupun mengetahui pensyarah rentas akan hadir. Maka pencalonannya tidak dapat diiktiraf juga.

Itu bagi pihak guru praktikum. Bagi pihak pensyarah rentasan, salah satu aspek sudah disentuh iaitu soal kehadiran ke sekolah tanpa memberitahu dahulu guru praktikum.  Kelemahan tindakan ini ialah seandainya sekolah jauh, dan pensyarah hadir secara terjah, mungkin P&P tidak dapat diselia jika pihak sekolah ada program tertentu seperti sambutan, majlis, sukan atau sekolah mengambil cuti peristiwa.  Jika sekolah dekat dengan IPG, bolehlah berpatah balik. 

Aspek seterusnya latarbelakang penyarah rentas.  Pensyarah rentas terdiri daripada personel yang amat sibuk. Selalu berlaku,di saat-saat akhir  pensyarah ini ditukar kepada orang lain yang bukan pakar dalam bidangnya, atau bidan terjun yang bertaraf Ketua Unit (lebih rendah daripada Ketua Jabatan). Jika Ketua Jabatan atau pensyarah kanan sekalipun, tidak semua mereka ini pakar dalam bidang yang diselia. Mereka hanya mampu melihat pendekatan P&P bukan Pengetahuan Pedagogi dalam Bidang ( Pedagogical Content Knowleddge). Kes yang lain pula, pensyarah terebut berada di Jabatan lain dan tidak mengajar atau sudah lama tidak mengajar subjek tersebut (misalnya Ketua Jabatan  Bahasa dan Komunikasi yang mempunyai Master dalam Bidang Bimbingan dan Kaunseling) tetapi diarahkan membuat rentasan calon cemerlang Bimbingan dan Kaunseling (B&K). Dalam kes ini kepakaran beliau hanya dinilai berdasarkan Sarjana B&K (teori) sahaja. Sedangkan beliau sudah lama tidak terlibat dalam amali  sesi kaunseling dan P&P B&K. 

Seterusnya, proses rentasan dibuat hanya sekali. Itu tak menjadi hal. Yang menimbulkan kekeliruan ialah  bagaimana calon dinafikan kecemerlangannya dengan hanya membuat penilaian satu jam P&P? Dalam tempoh 12 minggu praktikum, 6 kali penyeliaan guru pembimbing dan 4 kali penyeliaan pensayarah pembimbing di samping guru praktikum menambahbaik sendiri  P&Pnya, sehingga dia dicalonkan cemerlang. Terbuktilah guru pembimbing dan pensyarah pembimbing telah melaksanakan peranan mereka dengan baik.  Tentunya guru praktikum juga telah melaksanakan peranannya dengan cemerlang. 

Maka,  apakah yang mendorong pensyarah rentasan menggagalkan calon tersebut? Apakah penilaian satu jam oleh pensyarah “pakar” ini lebih absah (valid) berbanding bimbingan oleh guru pembimbing dan pensyarah pembimbing yang dibuat berkali-kali dan berjam-jam?  

Sayang sekali jika hal ini berlaku (kes gagal disahkan cemerlang).  Bukankah sesudah guru itu dicalonkan cemerlang , pensyarah rentas hanya tinggal mengesahkan sahaja? Apakah pensyarah pembimbing dan guru pembimbing tidak boleh dipercayai? Bukankah kedua mereka adalah orang yang pakar dalam bidang? Di mana wibawa mereka?  Di mana kepentingan bimbingan yang mereka berikan?  Setinggi manakah piawai yang dikehndaki oleh pensyarah rentas? Perlu diingat, guru praktikum tidak sama dengan guru yang sudah berkhidmat lama. Tahap terbaik yang ditunjukkan oleh guru praktikum patut dihargai memandangkan mereka masih dalam latihan. 

 Lebih malang jika pensyarah rentas diselubungi ego yang tinggi kerana kepakarannya dan ketinggian grednya.  Dan amat-amat  malang bagi guru praktikum, IPG,  dunia pendidikan, seluruh negara dan seluruh generasi  jika pensyarah rentas adalah seorang yang rasis!
Rentasan Praktikum: satu penilaian semula.

5 comments:

  1. Harapnya tiada yang rasis,
    mohon membantu dan membimbing :)

    ReplyDelete
  2. di maktabku berlaku guru pelatih yang tiada melalui kes rentas mendapat cemerlang dalam keputusannya...

    ReplyDelete
  3. bagaimana pula kesnya kalau didapati guru pelatih mengandung 2bulan dalam masa praktikum 12 minggu tu?isteri saya tak dapat hadir lebih kurang 7 hari disebabkan alahan yang teruk dan terpaksa dimasukkan ke wad dan diberi cuti 7 hari oleh doktor. isteri saya mengandung dah masuk 2 bulan.masalahnya dia tengah praktikum.lagi tiga minggu nak habis praktikum dia.pensyarah baru sekali datang utk mbuat penyeliaan.patutkah dia berterus terang kepada pensyarah bila dia dtg utk menyelia nanti?dan apa risiko bila pensyarah atau maktab tau hal ni?ada siapa2 tak yg pernah mengalami atau pernah dengar dari kawan2 ttg masalah ni?boleh kita kongsi brsama..tq

    ReplyDelete
  4. tmksh ats perkongsian ilmu ini.diharapkn dpt membantu sy utk persediaan mghadapi praktikum 2013....

    ReplyDelete
  5. bolehkah pihak sekolah menggagalkan guru praktikum? jika ya, atas sebab apa?

    ReplyDelete