01 November 2011

MUSANG, AYAM DAN MASYARAKAT UTOPIA




Pernahkah anda minum kopi musang? Ya, kopi yang diproses daripada biji-biji kopi yang mulanya  bercampur tahi musang. Mungkin tidak pernah, disebabkan namanya, asal-usulnya atau harganya.

Musang liar memakan biji-biji kopi ini tanpa menghadamkannya. Sewaktu musang buang najis, biji-biji kopi ini dikeluarkan. Dikatakan aroma kopi ini  sangat harum kerana rasa pahit kopi sudah tiada lagi akibat proses yang dialami di dalam perut musang. Kopi ini terkenal di Indonesia dan Filipina. Malah pendapatan seorang petani di Manila berjumlah RM704.83 sehari hasil mengutip dan menjual biji-biji kopi tahi  musang ini. Dan, secawan kopi musang di sana harganya  RM21.45.

Musang liar, tinggal di alam  liar. Maksudnya ia tidak dipelihara. Manusia utilitarian dan usahawan mungkin  memikirkan bagus untuk memelihara musang ini. Mengapa? Begini.  Musang liar tidak dapat dipastikan mobilitinya. Hanya pada waktu malam ia akan datang ke ladang kopi untuk makan.  Jika ada halangan tertentu seperti bahaya,sakit,  hujan dan bencana, ia tak jadi datang. Maka hasil kopi musang akan merosot. Jika musang ini dipelihara, pergerakannya dapat dikawal, waktu makannya dijadualkan. Bilangannya dapat ditingkatkan . Termasuk tahap kesihatannya dijaga. 

Dengan kawalan pembolehubah ini maka hasil kopi musang akan dapat ditingkatkan berkali ganda. Ini kerana musang sentiasa ada dan sentiasa dapat makan. Hanya tadah sahaja di bawah rebannya untuk hasil kopi tahi musang yang beraroma itu.... Dan tentu sekali fikirkan  RM RM RM....
Bukankah sudah ada orang memelihara rusa, landak dan buaya?

Al kisah penternak ayam daging yang mahu kaut keuntungan cepat bukan kita tak tahu. Ayam itu rutinnya  tidur di waktu malam. Maka apabila dipasangkan lampu terang benderang di dalam reban ayam, maka ayam tak dapat tidur (sama macam orang). Jadi ayam pun terkelip-keliplah. Kemudian ayampun ternampak makanan di dalam bekas makanannya. Lalu ayam pun makan  sebab tak ada apa nak buat. Impaknya kadar tumbesaran ayam dapat dipendekkan jangkamasanya. 

Sama sahaja konsep tanaman sayur dan bunga di Cameron Highland. Mereka memasang lampu di waktu malam. Namun mungkin belum tersua kajian apakah kesannya kepada manusia yang makan ayam yang cepat besar atau sayur yang cepat matang ini. Adakah kesannya kepada otak atau tahap kesihatan? Yang nyata apabila lembu di Amerika dan Eropah disuntik hormone untuk menjimatkan tempoh tumbesaran, maka muncul wabak penyakit lembu gila sedikit masa lalu.. Manusia jadi takut makan daging lembu gila.. 

Bagaimana dengan kopi musang yang dihasilkan oleh musang yang dipelihara tadi? Sepatutnya musang makan kopi sekali sahaja pada setiap malam. Setelah dipelihara, mungkin musang makan kopi lebih dari sekali sehari. Apakah kualiti kopi yang dihasilkan? Apakah pula kesannya kepada si peminum kopi?  Yang pasti bila pengeluaran sudah banyak, harga mungkin turun. Kerap sangat minum kopi pun kurang baik juga.

Sama sahaja dengan teori sosialisme dan komunisme. Untuk menghasilkan masyarakat sosialis,  masyarakat pertanian akan bergerak kepada masyarakat industry, kemudian pasca industry, kemudian sosialisme di mana kesamaan taraf dan kek ekonomi dinikmati sama rata, sama rasa. Inilah masyarakat idaman komunisme, digelar masyarakat utopia. Di mana tiada lagi konflik. 

Namun bagi setiap fasa, tempoh masa yang berlaku sangat lama. Misalnya bagaimana untuk menggerakkan masyarakat   industry kepada komunisme? Ia perlukan konflik dalam kalangan kaum pekerja. Namun jika konflik tidak berlaku, di mana mereka berada dalam zon selesa, maka tahap berikutnya tidak akan dicapai. Bagi contoh di Rusia pada awal abad ke-20, Lenin telah menggerakkan sebuah revolusi pekerja. Akibatnya berlaku pertumpahan darah yang sangat dahsyat. Sistem beraja telah berjaya ditumbangkan. Akhirnya Rusia menjadi komunis. Diikuti oleh China di bawah Mao Tze Tong. Namun apakah kesudahan masyarakat utopia impian mereka? Wujudkah? Rusia akhirnya mengalah dan China pula membuka pasaran kepada negara luar sejak awa abad ke-21.

Biarkan alam ini bergerak mengikut hukumnya. Sunnahnya. Fitrahnya. Jika dilanggar pasti berlaku kemusnahan. Samada kemusnahan fizikal alam atau kemusnahan kemanusiaan sendiri. Memang tidak salah manusia berusaha mempercepat sesuatu proses. Justeru bertangguh juga tidak baik. Pendek kata biarlah cepat asal selamat.






No comments:

Post a Comment