24 December 2012

BERCUTI DI Pulau Pangkor (Hari 4)


Pagi , sarapan di gerai sebelah stesen teksi Teluk Nipah.  Pekena Laksa mee. Laksanya saiz kecil. Kuah sup ikan. Boleh campur sambal dan sayur kacang. Enak juga.  Selepas sarapan masih ada masa beraktiviti. 


Kami pilih  Nipah Event Water Sport (NEWS).  Di sini Banana Boat sekali jalan RM70. Tak kira berapa orang. Berbanding Beach Boys, RM15 seorang.  Ada sebuah keluarga naik banana boat 8 orang menggunakan khidmat NEWS ini. Jadi tak sampai RM10 seorang.  

Menariknya naik banana boat ialah apabila sampai semula di pantai, kita diminta meletak tangan ke kepala. Bot akan sentak banana, so kita akan terjatuh ke air. Seronok, Jangan takut, pasti  timbul. Selepas menaiki  banana, kami mencuba pula jet ski. Rm70 bagi 20 minit. Pandu sendiri. Boleh juga pilih pakej yang lain. Misalnya jadi penumpang sahaja, pakej setengah jam  atau satu pusingan RM15.  Dalam 20 minit, kita boleh tukar-tukar penumpang atau pemandu sesama ahli keluarga. Jet ski mudah dikendalikan. Tekan minyak sahaja. Tapi awas jangan terlalu ghairah. Takut terlanggar bot yang lain. Kami bergilir-gilir penumpang. NEWS beri extra 5 minit. 

Akhir sekali kami mencuba kayak pula. RM20 satu jam. Hari semakin panas. Saya dan Ain berjaya mengayuh kayak hingga ke Pulau Giam melihat orang snorkeling. Patah balik semula ke pantai. Orang yang berkayuh di bahagian belakang mesti pandai menentukan arah.

Pukul 11.15 kami selesai aktiviti pantai.  Sbelum balik bilik, membeli apam balik  Angah dulu. 50 sen sekeping. Pagi petang kami beli apam balik ni. Ramai pelancong mat saleh turut membeli.  Pak Ngah kata dia sudah 30 tahun tinggal di sini. Dia orang Kg Dong,  Raub, Pahang.
Check  out 12.00 tengahari.  Sudah ramai pengunjung yag menunggu di lobi untuk check in.  Resort ini kira ok dan selesa. Dekat dengan pantai (100meter) . Anggota PDRM juga ramai menginap di sini. 

Sebelum sampai ke jeti,kami singgah di  Kota Belanda di sebelah selatan pulau.  Kota peninggalan Belanda ini dibina semasa Belanda berperang menentang Panglima Kulup.  Singgah lagi di kedai ikan bilis di Pekan Pangkor.  Mencari ikan bilis Pangkor. Ikan bilis mata biru yang terbaik dan termahal.  Gred A. 40% pengeluaran bilis Malaysia datang dari Pangkor. Inilah produk utama Pangkor. 


Sampai Jeti, tuan kereta sudah menunggu. Lewat 15 minit. Tapi dia tak cas apa-apa. Senyum sahaja. Agak lama menunggu feri.  Mata mengantuk. Feri gerak pukul 2.00pm.  Dalam Feri saya ambil peluang untuk tidur. Letih berkayak.  Sampai di Lumut, makan tengahari di  bahagian bawah parking bertingkat. Restoran Laksa Kuala Perlis. Banyak kedai makan di situ.  Shopping lagi. Harga produk hasil laut lebih murah di Lumut. Saya  syorkan  shopping di kedai Normala atau Hamid Ali. Ada tawaran 8 barang Rm10, 4 barang RM10 dan lain-lain tawaran. Bagi cenderamata dan t shirt, tak jauh beza dengan di pulau.


Selesai shopping, kami gerak balik ikut Bidor dan Sungkai  masuk Lebuh raya Plus terus ke Kuala Lumpur.  Secara asas bajet adalah seperti berikut: Penginapan 2 hari RM360.00. Minyak kereta RM80. Tol RM25. Aktiviti air RM230.00. Makan RM260. Sewa kereta di pulau RM150. Tiket RM45. Bayar parking di Lumut RM15.00 dua hari. Jumlah kasar  RM1165.00.  (bajet untuk 5 orang,  kereta sendiri, dari Kuala Lipis, Pahang). Tak termasuk shopping.  Tujuan saya  kemukakan aktiviti  dan bajet ini adalah sebagai panduan atau sebagai perbandingan kepada sesiapa yang ingin bercuti di Pulau Pangkor.

BERCUTI DI Pulau Pangkor (Hari 3)


Cari sarapan nasi lemak di gerai tepi jalan. RM1 sebungkus.  9.00am mencuba aktiviti snorkeling. Ada lebih kurang  5-6 kumpulan pengendali  aktiviti laut di Teluk Nipah. Antaranya, Beach Boy, Nipah Event  Water Sport. Semuanya Melayu. Anak-anak muda belaka. Mereka  peramah. Harga boleh dibincang. Beach Boy menawarkan RM50 untuk satu bot ke Pulau Giam bagi aktiviti snorkeling.  RM40 jika bot kecil sedikit. Sewa google RM5 seorang. Jika kita tidak sangat ingin snorkeling,  sewa 1 atau 2 google sudah memadai. Boleh gilir-gilir nanti. 

 
  
 Kami dibawa ke Pulau Giam. Tak sampai 10 minit dari pantai Teluk Nipah. Sudah banyak bot sampai. Ramai orang sedang snorkeling. Ramai juga yang duduk memerhati dari atas bot sahaja. Kanak-kanak boleh snorkeling di tempat cetek. Ada  ditanda sempadan kawasan  untuk snorkeling. Bagi yang tak pandai berenang, jangan bimbang . Life jacket akan sentiasa membuat kita timbul.  Tips; Jika bahagian pada google yang  dimasukkan ke dalam mulut itu tada tempat untuk gigit, masukkan seluruh bahagian pangkal batang pernafasan  ke dalam mulut, hingga sesuai. Jadi kita boleh bernafas melalui mulut dengan selesa. Pedulikan orang tengok. Tiada siapa nak tengok pun. Masing-masing bukan profeional pun.  Masing-masing sibuk melihat ke dalam air. 



Banyak juga ikan-ikan berbelang-belang biru, kuning mengelilingi kita. Saya cuba memberi roti. Ikan-ikan ini tidak takut makan di tangan saya.  Cara yang baik agar tidak menakutkan ikan-ikan ini ialah dengan meletakkan tangan kita ke belakang badan atau sisi badan kita. Hanya kaki kita yang bergerak perlahan-lahan.  Lagi satu pastikan cahaya matahari bersinar cerah untuk melihat pemandangan di bawah air yang lebih baik. Oleh kerana orang agak ramai, air mnejadi sedikit keruh. Ruang juga agak terhad.  

Awasi juga obor-obor. Bagi kanak-kanak, batu, teritip dan karang boleh melukakan kaki.  Ada juga orang yang alah kepada air di sini. Mereka diserang gatal-gatal. Tapi tak kritikal. Di bahagian belakang pulau ada kawasan air agak tenang. Banyak batu karang di sini. Gamat juga boleh dilihat. Saya menangkap seekor gamat. Bentuknya berubah-ubah di atas tapak tangan. Agak menggelikan dengan bulunya seperti  gel.  Di sini bagi setengah orang , airnya lebih ‘menggatalkan’..



Di Pulau ini ada gerai menjual minuman.  Memandangkan bot yang menjemput kita untuk balik ke pantai mungkin lambat (1jam), elok kita bawa sedikit bekal makanan.  Bot yang menjemput kita akan membawa kita mengelilingi Pulau Giam,  melihat batu buaya, batu penyu, batu paus, melalui Pulau Metagor, Monkey Bay dan agak berdekatan juga dengan kapal TLDM KD Penyu. 
Lain-lain aktiviti di sini seperti Great Big Marbel, semacam sofa duduk 4 orang ditarik oleh bot, Banana Boat boleh naik hingga 8 orang.  Jet Ski, Poparazi, dan berkayak. 

Seterusnya kami makan tengahari di kedai makan simpang Horizon Inn.  Menu simple tapi mahal. Tips; jika ramai, isikan lauk dalam mangkuk. Jangan ambil lauk  ikut pinggan masing-masing.

Petang kami keluar pula.  Menuju ke Pantai Teluk Ketapang. Banyak pokok ketapang di pinggir pantai. Pantainya agak landai, damai. Ada menara tinjau.  Tiada orang mandi. Tiada resort. Singgah bergambar sahaja.  Melalui Pasir Bogak. Pantainya panjang. Ada aktiviti rumah air untuk kanak-kanak.  Singgah bergambar juga.  


Seterusnya melintasi jalan jeti ke Sungai Pinang Besar.  Jeti nelayan terdapat di sini.  Kami tidak singgah di Fu Ling Kung kerana terlepas simpangnya.  Terus ke Sungai Pinang Kecil. Kilang satay Fish juga sudah tutup. Kereta terus gerak ke depan. Sampai ke jalan tiada rumah orang. Hutan. Jalan semakin sempit dan berbukit serta selekoh tajam.  Persisi  Balik Pulau di Pulau Pinang.
 Akhirnya sampai ke Pantai Teluk Dalam.  Di sini ada resort yang nampak ekslusif dan privacy. Chalet sebuah sebuah.  Teluk Dalam  Resort.  Pantainya cantik. Kami terus ke depan. Terlajak hingga ke sebuah  rumah persendirian selepas jeti yang ada  round about. Patah balik tanya  Pengawal keselamatan Pangkor Island Beach Resort. Katanya simpang balikke Teluk Nipah ialah di tepi padang kampung Teluk Dalam. Memang tiada papan tanda di situ. Kami patah balik. 



Melihat beberapa penduduk kampung menjala dan memukat di air cetek. Terfikir… inikah aktiviti nelayan di sini? Dhaif? Terlihat rumpai laut kehijauan di gigi air. Terfikir… apakah mungkin ternakan rumpai laut dapat diusahakan di sini ( seperti di Sabah). 


Masuk simpang, melalui lapangan terbang Pangkor. Melalui Pangkor Rimba Kem ,  keluar semula ke Anjungan Resort di Teluk Nipah.  Hampir gelap. Orang mulai ramai mencari tempat makan malam. Lebih banyak pilihan kedai makan jika pergi ke hujung arah Anjungan Resort.   Menu ikan laut seperti bawal, siakap,kerapu, sotong, talang, nyo-nyok dan kembung. Ada harga dipaparkan. Harga termasuk siap dimasak.  Kami pekena Bawal Gajah masak stim.  Campur sotong goreng kunyit, RM85.00. Kekenyangan. Balik  bilik, solat, tidur. Masih ada keluarga yang karaoke malam ini. 

BERCUTI DI Pulau Pangkor (Hari 2)


18 Dis 2012 (Selasa)   
Bergerak ke Seri Manjung .  Shopping di Pasaraya  Billion. Pakaian di sini memang murah.  Naik tingkat atas. Pasaraya AEON juga baru dibuka. Tapi kami tak pergi. Billion jalan ke arah Lumut. 

1.30 sampai di Lumut.  Di Pekan Lumut, parking kereta agak sukar.  Parking berkupon. Saman dan kunci tayar  mungkin dikenakan jika tiada kupon. Terbaik parkir di parking bertingkat.   Bayaran 40 sen satu jam. Jam pertama  free.  


Selepas makan tengahari (kat Gerai Intan Berlian. Agak mahal. Lauk biasa sahaja ),  seret  beg ke jeti. Kita akan melalui laluan pejalan kaki berbumbung dari bangunan parking. Lebih kurang macam airport. Di jeti ada ATM Maybank.   Beli tiket feri dahulu. Ada 3 kaunter.  3 syarikat berlainan.  Jangan bimbang.  Boleh beli mana-mana tiket dan naik mana-mana feri.  3 syarikat ini dah bekerjasama. Tiada rebut-rebut penumpang.   Kami naik  feri Pan Silver. Tiket dewasa RM10.00, kanak-kanak RM5.00. Tiket untuk bayaran pergi balik.  Lebih baik simpan tiket tersebut.  Feri datang setiap setengah jam.  Adalah lebih baik terus naik jika feri sudah sampai. Supaya dapat tempat duduk. Kecuali ingin duduk di bahagian atas (deck) untuk menikmati  angin dan melihat pemandangan dengan lebih jelas. 

Feri gerak pukul 2.40pm. Sampai di Jeti Pangkor 3.20pm.  sampai di jeti Pangkor, ramai anak muda  (Cina dan India)  bertanya samada kita nak sewa kereta atau tidak.  Macam di Langkawi. Bayarannya RM80.00 sehari. Jika 2 hari RM150.00.  Kami sewa Proton Wira Auto.  Di pulau ini van menjadi teksi. Warna pink. Jika naik teksi dari jeti ke Resort , kena cas RM20.00.  


Kami terus gerak ke Pangkor BayView Resort. Lokasinya 5km dari jeti. Sampai di Teluk Nipah, tiada papan tanda BayView. Rupanya kena masuk ikut  simpang Horizon Inn. Tak sampai 100m ke dalam. Parking kereta agak sukar. Parking di sebelah jalan sahaja.  Bay View  ada kolam. Sesuai bagi kanak-kanak. Bilik family jika hari biasa RM180.00 semalam. Kami sudah booking  melalui online.  Deposit RM200. Jika transfer melalui ATM Maybank, simpan resit. Nanti pihak resort minta sebagai bukti. 

Pukul 5.30pm kami  keluar ke Pekan Pangkor. Isi minyak RM20.00 (RM10.00 agak memadai).  Ah Tong, pemilik kereta kata RM15 isi minyak sudah cukup. Ada bro  ‘beach boy’ kata jika kita isi minyak lebih, nanti si pemilik kereta ini akan sedut minyak lebih tersebut jika kita tak habis pakai. Jadi  minyak kereta akan pada  paras ‘E’ bila penyewa berikut ambil alih .  Tak tahulah. Apa pentingnya sedut minyak?

Shopping di Pekan Pangkor. Kedai buka sampai malam. Kedai t shirt, cenderamata, hasil laut. Mayban, AMBank dan Agro Bank ada di sini. T shirt di Kedai Norizan (kedai mula-mula) agak murah. Boleh ditawar sehingga 25%. 


Sebelum balik bilik, kami singgah di tepi jalan dekat Pasir Bogak.  Pekena Siakap bakar cicah air asam, paprik sotong dan air buah. RM54 melayang.  Sebelum masuk bilik, jalan-jalan lagi di pinggir Teluk Nipah. Ramai orang masih melilau. Rupa-rupanya di sini paling meriah pada waktu malam. Ada seorang mak cik kata, dia menginap di Sea View dekat Pasir Bogak, tiada tempat makan. Dia datang makan di Teluk Nipah.  Gerai makan banyak pilihan. Resort juga lebih banyak  dan kedai cenderamata juga banyak. Jika siang, aktiviti laut paling banyak juga di Teluk Nipah.   Malam tersebut agak bising dengan karaoke  suatu keluarga di  Bay View


Bay  View menyediakan sewa motosikal.  RM35 sekali sewa sampai balik.  Sewa moto dan basikal banyak di Pasir Bogak. Sewa basikal RM 3 untuk 2 jam.RM5 jika  24 jam.  Semua basikal jenis MTB.  Mesti  tahu main gear.

BERCUTI DI Pulau Pangkor (Hari 1)


Pada 17 Dis. 2012 (Isnin).
 Pukul 9.00 pagi kami bertolak dari Kuala Lipis. Melalui jalan Koyan-Betau Cameron Highland.  Pukul 11.00 sampai di Ringlet. Belok kiri ke Tapah. Sudah lama tak lalu jalan ini. Banyak tanah runtuh. Namun masih boleh dilalui kereta. Hujan sepanjang jalan.  Pukul 12.00 sampai di Lata Iskandar. Singgah makan bekalan. Nasi dan ikan lampam goreng.  Memang selera makan di tepi air terjun.  Mandi manda ala kadar. Teruskan perjalanan .

Pukul 4.00 petang dah sampai di Teluk Intan. Melawat Menara Condong. Tapi tak dapat masuk.  Isnin tutup.  Menara ini merupakan tangki air pada masa dahulu.  Keihatan 8 tingkat. Sebenarnya 3 tingkat sahaja. Kini sebagai objek  pelancongan.   Kami disapa oleh seorang lelaki Cina menaiki basikal tua. Katanya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam “ Mudah-mudahan bertambah rezeki.  Boleh lah belanja saya makan mee rebus”. Apek  ni beberapa kali berpusing-pusing dengan basikalnya di sekitar  dataran menara condong ini. Sampaikan 3 kali saya bersalam dengannya. 

Di pinggir dataran menara condong, ada banyak gerai makan. Pekena gado-gado di Warong Wak Teni.   Seakan cucur udang. Guna lidi untuk mencucuknya. Sedap.  Seterusnya ambil masa sedikit  cuci mata di Kompleks Menara Condong.  Biasa sahaja. Ala-ala kat Nilai 3. Menariknya kita dapat melihat kecondongan sebenar menara ini jika berdiri di pintu masuk Kompleks ini. Condongnya ke arah kanan. 


Seterusnya bermalam di rumah sepupu di Batu 14 Lekir, Setiawan.  Hajat hati nak ke Bagan Datoh. Namun hari semakin mendung dan gelap.  Lagipun jaraknya agak jauh juga. Negeri Perak memang luas. Negeri yang masih belum habis sayab teroka.  Biasa pergi ke Tanjung Malim,Bagan Serai dan Taiping sahaja.  Selalu kita ke utara melalui lebuhraya PLUS.  Oleh itu bandar-bandar di negeri Perak agak kurang diberi perhatian.