30 April 2012

EGYPT WORLD

Sewaktu memandu pulang dari Kota Bharu pada 19 April yang lalu, kami singgah di sebuah kedai buku di Nilam Puri. Kedai  buku ini jika dilihat dari luar, tidak menzahirkan imej sebuah kedai buku. Malah tidak dapat dipastikan kedai apa.   Lebih kepada kedai runcit. 

Namun saya dan Sanusi, pustakawan IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan hanya mengikuti  kereta di hadapan kami. Apabila Dr. Khairuddin  Said  membelokkan Toyota Viosnya  ke kiri jalan, saya pun  turut membelok . 

Tertulis Egypt World. Milik seorang Mesir.  Agak petah berbahasa Melayu. Menariknya, kedai ini menawarkan 40% diskaun bagi buku berbahasa Arab dan 30% buku berbahasa Melayu. Hampir 90% buku adalah buku agama. Buku yang berjilid-jilid seperti  ensiklopedia, Riadhu Solihin, kitab-kitab tafsir, kitab hadis, buku doa, kamus, dan buku-buku nipis tersangatlah banyak.  Namun kebanyakan buku dalam bahasa Melayu agak terkebelakang tahun penerbitannya. Namun ilmu di dalamnya sentiasa bermanfaat. 

Saya memilih 3 buah buku.  Masih diberi potongan 40%.           Dr. Khairuddin mencadangkan saya membeli sebuah buku doa dalam bahasa Arab sepenuhnya. Bukunya agak tebal   lagi kulit keras. Saya menolak atas alasan tidak pandai berbahasa Arab. Beliau sanggup membantu saya memberi makna perkataan dalam buku tersebut. Harganya cuma RM30.00. Akhirnya saya tidak membelinya. 

  Dr. Khairuddin  pula  membeli 3 kotak buku  yang harganya mencecah RM2000.00 ( dua ribu). MasyaAllah! Ini lah contoh manusia yang tidak lokek wang kerana cintanya kepada ilmu.  Buku beliau  ‘Pemikiran Islah Yusuf Ahmad Lubis’  terbitan Universiti  Malaya baru sahaja  diterbitkan. Memang beliau sangat kuat membaca.

Kepada dua orang gadis pembantu kedai itu saya katakan kepada mereka, “kamu berdua sangat bertuah bekerja di sini.  Jika saya bekerja di sini, saya bimbang saya tidak mampu memberi perhatian kepada kedai  ini secara lahiriah, tapi saya akan khayal meneroka ‘ isi’nya...”


Kedua gadis itu sekadar memberikan senyuman , yang tidak begitu manis...

Kepada sesiapa yang berkesempatan, singgahlah di kedai  ini, Egypt  World, Nilam Puri, Kelantan, Malaysia.  Minuman sejuk percuma mungkin diberi  mengiringi ucapan  ahalan  wa sahlan...!



No comments:

Post a Comment