05 June 2010

MEMINTAS IMAM

JAHANNAM UNTUK ISRAEL!!!


 CERITA SOLAT JEMAAH

Kita sedia maklum dalam solat berjemaah, imam adalah pendahulu. Imam adalah pemimpin. Imam itu diikuti. Demikianlah suruhan Allah SWT. Hikmah di sebalik perkara ini  mudah dianalogi ke dalam kehidupan seharian.  Antaranya pemimpin itu perlu diperhatikan sebelum diikuti. Biar nyata dan sempurna perlakuannya barulah dituruti dan  diteladani.

Namun kerap kita perhatikan sebaik sahaja imam mengucapkan “Allah...hu..” belum sempat sebut “Akbar”,  pergerakan makmum sudahpun hampir sama dengan  pergerakan imam.  Misalnya imam baru mengangkat takbir untuk  ruku’, ada makmum yang serentak tangannya dengan imam lalu sama pula dengan imam ruku’nya.  Terkadang ada pula yang dahinya mencecah  sejadah lebih dahulu daripada imam.

Bagaimanakah dapat makmum itu  serentak dalam pergerakannya?  Satu caranya ialah dengan menunggu imam selesai mengucapkan Allahu Akbar dengan sempurna. Barulah makmum mengikut imam. InsyaAllah akan sama pergerakannya.  Misalnya apabila imam bangun dari sujud untuk kembali berdiri, maka makmum tunggu imam  sudah berdiri dan selesai  mengucapkan Allahu Akbar, barulah makmum sama-sama bangun.

Hal ini mestilah  dimaklumi oleh semua makmum. Imam sendiri boleh memberitahu  makmum. Jika sudah selalu diamalkan, maka pergerakan dari satu rukun ke satu rukun dalam solat itu akan nampak sangat cantik, sama lagi kemas. Mana-mana makmum yang tidak sama pergerakannya akan ‘ terasa janggal’ lalu akan berusaha menyamakan pergerakannya..

Terkadang di kampung-kampung , ahli jemaah tidak ambil kisah sangat perkara ini. Asalkan tidak mendahului imam, cukuplah. Ada juga ahli jemaah yang tahu tentang hal sebegini, tapi rasa segan nak beritahu imam. Maklumlah mungkin ’imam tua.’  Lebih segan kalau imam itu jenis yang  agak ’pasif ’ dengan sebarang  teguran atau penambahbaikan.

Kesamaan pergerakan solat ini, bukan sahaja kemas  di kalangan makmum, tapi juga perlu kemas di pihak imam. Dikatakan begini kerana terdapat imam yang bacaannya laju, agak laju atau amat laju, akan membuatkan makmumnya berterabur dalam pergerakannya.  Terutama dalam solat tarawikh. Misalnya makmum baru nak rukuk, imam sudah pun i’tidal. Bila makmum baru nak turun sujud, imam sudahpun duduk antara dua sujud,. Pendek kata, imam dan makmum perlu sama-sama sedar akan kebersamaan itu.

Benarlah dikatakan, bagaimanakah  umat Islam  dapat bangkit menunjukkan kehebatannya, dapat membina kesatuan, dapat menggerunkan musuh, dapat mengalahkan lawan, jika solat jemaah mereka sendiri lintang pukang.  Lihat sahaja safnya. Adakah tumit-tumit kita disamakan dengan orang di kiri dan kanan? Adakah bahu-bahu kita menyentuhi orang di kiri kanan?  Solat itu tiang agama....  tiang yang semestinya mantap dan amat utuh..


Secebis kisah selingan...

Di sebuah masjid di suatu tempat. Setiap kali solat jemaah, para makmum di situ memang sudah biasa cepat pergerakannya. Hampir sama dengan imam.  Cuma mereka tak beri salam lebih dulu daripada imam saja..  Nak bersegera sungguh mereka ni...

Suatu kali solat Maghrib. Macam biasa, makmum ikut cepat. Bila imam angkat tangan, makmum pun ikut. Tangan diangkat lambat sedikit sahaja daripada imam. Cuma bila tangan itu jatuh, sama pula dengan tangan imam jatuhnya. Begitu juga bila imam bangun dari tahiyyat, makmum nampak macam agak lambat sedikit bangunnya. Tapi sebaik sahaja imam menyebut ’bar” (suku kata kedua ”Akbar) makmum sudahpun tegak berdiri sama-sama imam. 

Tiba rakaat terakhir. Imam pun menyebut ”Allaaaaaaah....” sambil merendahkan badan, membengkokkan lutut untuk turun sujud.  Masa ini makmum sedang ikut imam dengan beza kelajuan 0.5 saat sahaja. Ketika kedua tangan imam dihulurkan ke depan sejadah,  makmum pun buat perkara yang sama. Tetapi tanpa disangka-sangka, tiba-tiba imam terdiam sebentar. Belum sempat sujud... yang terdengar ialah ...huuuuaaaaaaaacchhhh.....  chuuuuuuuuummm!!!  Imam terbersin. Sekali lagi . Huaccchhuuuummm...... Lagi... ! Huaccchhuuuummm...... Semua makmum menunggu sehingga imam habis bersin untuk kali ke-5. Dan semua tangan makmum sedang diletakkan ke atas sejadah. Mereka semua dalam keadaan hampir nak sujud.....
 
sumber gambar, kredit untuk : sahalfikri.blogspot.com/

01 June 2010

BEKAM - sekali seumur hidup


Semalam  seorang rakan datang ke rumah. Beliau seorang ketua di jabatannya.  Sebentar sahaja selepas menelefon, dia pun sampai. Beliau berasa sakit kepala yang agak serius. Migrain. Beliau meminta saya membantunya  memberikan rawatan bekam.

Sayapun menyediakan peralatan bekam. Pam, Alcohol Swab, Lancet, Rubber Glove, dan Cup. Beberapa point di tengkuk  dan kepala dikenalpasti untuk dibekam. Bagaimanapun beliau tidak bersedia untuk dibekam di kepala. Rambut  perlu dipotong sedikit atau sebaiknya dicukur di bahagian yang perlu dibekam.  Bagi penyakit migrain, bekam yang sempurna sebaiknya melibatkan bahagian kepala. Namun  beliau bercadang berbekam di bahagian kepala bila beliau bercuti agak panjang nanti.  Selain itu saya juga meminta beliau berbekam di bahagian belakang pinggang. 

Saya mulakan dengan al Fatihah, salawat Syifa’ dan doa.  Sesi dimulakan dengan bekam angin. Dalam beberapa minit, cup kelihatan berwap. Menandakan banyak angin dari badan yang ditarik keluar. Selepas sesi bekam angin, lancet dikenakan ke atas kulit bagi mengeluarkan darah secara moden dan lembut.  Cup sekali lagi diletakkan di kulit dan dipam. Sesi ini mengambil masa  lebih kurang 10 ke 15 minit. Bergantung kepada kuantiti darah yang keluar.  

Apabila tiada lagi darah keluar, cup ditanggalkan. Darah di kulit dilap dengan tisu bersih. Sekali lagi Alcohol Swab disapu. Lancet dibuang (disposable). Sesi selesai. Saya akhiri dengan  doa sekali lagi. Kesembuhan datang daripada Allah SWT.  

Bekam adalah sunnah. Umat Nabi Muhammad SAW digalakkan berbekam sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Bekam merupakan salah satu usaha penyembuhan penyakit-penyakit fizikal dan spiritual.  

Pada masa dahulu orang agak takut untuk berbekam kerana peralatan yang digunakan sangat tradisional. Kini tidak lagi. Sesi bekam dijalankan secara moden, bersih, cepat, mesra  dan selesa. Peralatan yang digunakan dibasuh dengan cecair antiseptik. Manakala Lancet, Alcohol Swab, Rubber Glove dan kertas tisu adalah jenis pakai buang.

Untuk maklumat lanjut kita boleh dapatkan info bekam di internet. Khususnya di laman :




23 May 2010

DUDUK-DUDUK DALAM KERETA


Saya tak ingat entri ini dah pernah saya poskan ke blog atau tidak. Kalau sudah, maka jadilah ia sebagai ulangan.... semoga bermanfaat..
Akhir 2008 kakitangan awam telah diberi opsyen bersara umur 56  atau 58. Ramai yang pilih 58.  Jika seseorang mula kerja makan gaji dengan kerajaan pada usia 20, maka 38 tahun dia akan berkhidmat. Taraf kesihatan kini semakin baik.  Dijangkakan kita masih lagi produktif dan aktif bekerja sehingga 58.  Kemudian, umur bersara ini pasti akan dikaji semula. Di beberapa buah negara, usia bersara 70 sudah dipraktikkan. Jika demikian, seseorang yang mula bekerja pada usia 20, akan berkhidmat selama 50 tahun. Lamanya tempoh kita bekerja dalam hidup ni...   (nota: saya maksudkan bekerja dalam sektor awam)  Jika dalam sektor swasta atau bekerja sendiri, tempoh  bekerja akan berbeza pula..

Berulang alik dari rumah ke tempat kerja yang jauh memang mencuri masa. Tak kira di mana sahaja. Dari Seremban ke Kuala Lumpur,  Pekan ke Segamat, KL ke KK, Kangar ke JB, dari Kyoto ke Tokyo, atau New York ke Los Angeles. Cepat lambat bergantung juga kepada sistem pengangkutan yang digunakan, keadaan lalu lintas, atau kecekapan memandu. Tak lupa juga cepat atau lambatnya bangun pagi.

Beberapa rakan saya  di Kuala Lipis yang  menetap di Temerloh, Jerantut, Raub atau Bentong berulang alik setiap hari.  Jarak  Temerloh ke Kuala Lipis 132km sehala. Jika Jerantut, 72km. Paling ramai rakan dari Jerantut. Bagi yang dari Temerloh, perjalanan sehala 2 jam purata.  Dari Jerantut 1 jam. Tapi syukurlah tiada ‘traffic jam’ seperti di Kuala Lumpur. Namun jalan  dari Jerantut ke  Kuala Lipis memang mencabar. Bagi sesiapa yang pernah melaluinya akan merasakan pemanduan yang penuh ‘skill’, penuh focus, dan mistikal.


Destinasi yang saya nyatakan di sini sekadar contoh. Kita fikirlah, jika sehala perjalanan, 2 jam. Pergi balik 4 jam. Keluar rumah pukul 6 pagi. Sampai rumah 7 malam. Dengan andaian tiada faktor-faktor gangguan. Jika memandu, badan dan mental memang penat. Faktor kos minyak, tayar haus atau risiko kemalangan, itu  cerita lain. Kalau hati dah bahagia, jarak dan masa bukan penghalang. Slogan yang diguna: SERONOK BEKERJA, BEKERJA SERONOK. Kata orang, jika tempat kerja dekatpun, jika hati tak seronok, prestasi kita pada tahap biasa-biasa sahaja. Saya pernah berulang alik ke tempat kerja sejauh 100km pergi balik selama setahun dan 80km selama 4 tahun setengah. Selama setahun juga saya balik rumah melebihi pukul 7 malam. 

Apakah kelebihan atau kekuatan yang mendorong orang berulang alik sejauh yang mereka sanggup? 2 atau 3 jam sehala? Selama bertahun-tahun? Salah satu faktor ialah motivasi dalaman.  Secara mudah anggarannya jika 4 jam ulang alik X  260 hari bekerja setahun X  30 tahun tempoh bekerja,  kita  akan  duduk dalam kereta selama 31200 jam! Bersamaan 3.6 tahun!! Duduk saja-saja!  Oh, alangkah! Alangkah! 




     

CARA MENGUKUR ARAH KIBLAT

Menggunakan kaedah matahari terbenam.

Hanya pada tarikh 28 Mei jam 5.16 petang dan 16 Julai jam 5.28 petang setiap tahun.
( waktu di Malaysia)
Cara:
Dirikan objek lurus seperti tiang di tanah lapang dan rata.
Pastikan ia tegak dan lurus. Untuk lebih tepat, letak tali yang diikat pemberat pada penghujung tiang.
Tempat yang dipilih tidak terlindung sinaran matahari.
Waktu yang disemak mesti ikut waktu Sirim seperti waktu televisyen atau radio.
Bayang tiang akan jatuh ke arah timur .
Arah kiblat ialah yang menghadap barat.

Sumber: JAKIM
Semoga bermanfaat..

22 May 2010

Diri

Aku bernafas
Aku  melihat
Aku berfikir 
Aku percaya
Aku berkata-kata
Aku  melangkah

Lalu aku percaya apa yang ku lihat
Setelah aku melihat apa yang ku percaya

18 May 2010

RESIPI SAMBAL HITAM



Sambal hitam memang popular di Kuala Lipis. Setiap anak jati Lipis tahu apa itu sambal hitam. Ia  salah satu identiti Kuala Lipis selain rendang hitam, ikan kelah dan buah salak. Walaupun demikian, sekali sekala sambal hitam boleh juga didapati di Raub, Jerantut atau Bentong. Jarang-jarang pula terdapat di Temerloh, Bera, Kuantan dan daerah lain di Pahang. Rasanya sedap, bahkan amat sedap bagi penggemarnya. Namun begitu ada juga yang tidak gemarkannya.

Melalui tinjauan yang dibuat, ramai bukan orang Pahang yang sudah terpikat dengan keunikan rasa sambal hitam. Rasanya lebih kepada kemasam-masaman. Kerap juga kita jumpa sambal ini di kedai-kedai makan di Kuala Lipis. Misalnya di Penjom, ia menggantikan sambal ikan bilis yang biasa bagi nasi lemak atau pulut. Kini ia dijual dalam bekas kecil dengan harga serendah RM2.00.

Menurut Mak Andak dari Kampung Berchang, Kuala Lipis, setiap rumah orang Lipis mesti menyediakan  sambal ini pada kebanyakan masa makan. Kanak-kanak perempuan seawal usia 11 tahun sudah mulai tahu cara membuatnya. Resipi turun temurun lah katakan.

Secara asas, berikut ialah  resipi sambal hitam:

Belimbing buluh (direbus dengan garam sehingga kehitam-hitaman, dibuang airnya)
Ikan bilis
Lada
Minyak masak
Bawang merah

Belimbing buluh yang sudah direbus (biasanya antara satu hinga dua jam, bergantung kepada kuantitinya) dituskan airnya. Belimbing yang bertukar warna coklat kehitam-hitaman ini digelar asam belimbing.
Tumbuk ikan bilis sekadarnya jangan sampai hancur lebur. (Tumbuk dalam lesung batu ya, bukan guna penumbuk tangan) Masukkan lada sepedas yang dikehendaki. Tumbukkan bawang juga.  Akhirnya masukkan asam belimbing  yang memang sudah masam. Tumbuk atau lenyek sahaja dengan antan lesung batu sebab belimbing tu sudah sedia lembik pun. Garam tak perlu dimasukkan sebab asam belimbing sudah dicampur garam. Namun jika belum mencapai tahap leleh  yang dikehendaki oleh air liur, boleh saja tambahkan garam.

Panaskan minyak masak dalam kuali. Semua bahan tadi  dimasak sehingga naik aromanya. Selepas itu bolehlah dihidang dan dimakan bersama lauk-pauk yang lain. Menariknya, statusnya sebagai sambal kerap dinaiktarafkan sebagai lauk utama. Sambal ini juga boleh tahan untuk beberapa hari tanpa dingin beku. Jika disimpan dalam peti sejuk, lebih lama tahannya. Ada juga orang memakan sambal ini secara mentah sahaja.
Awas, jangan makan berlebihan. Impaknya sama macam makan sambal belacan...